Malaysia Oversight

NGO alam sekitar gesa kerajaan siasat kelewatan kes ‘sungai biru’

By MkiniBM in November 15, 2025 – Reading time 2 minute
NGO alam sekitar gesa kerajaan siasat kelewatan kes 'sungai biru'


Greenpeace Malaysia dan Save Malaysia, Stop Lynas (SMSL) mendesak menyiasat kelewatan 13 hari dalam siasatan kes pencemaran “sungai biru” di Sungai Perak bulan lalu.

Dalam satu sidang media bersama di Kuala Lumpur hari ini, kedua-dua pertubuhan itu menyuarakan kebimbangan terhadap “kegagalan sistemik yang jelas” dan “kurangnya keutamaan” dalam menangani pencemaran industri.

Mereka juga menuntut penambahbaikan segera terhadap Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Memandangkan JAS mempunyai pangkalan data lengkap mengenai bahan kimia dan sisa yang dihasilkan oleh semua kilang, mengenal pasti kemudahan yang berpotensi menghasilkan sisa berwarna biru sepatutnya mengambil masa beberapa jam, bukan beberapa hari.

“Kelewatan ini membolehkan bukti penting terhapus, sekali gus menjejaskan siasatan,” kata jurucakap SMSL, Alan Chan.

“Kami mengalu-alukan tindakan negeri Perak menghentikan operasi tiga lombong terbabit, namun jangka masa siasatan JAS menimbulkan persoalan serius mengenai kecekapan operasi dan tahap keprihatinannya,” tambahnya.

5212338d8272035815f452f4c48c9526

Pada 3 Nov lalu, JAS mengenal pasti tiga operasi perlombongan di kawasan hulu Sungai Perak di Gerik ketika menyiasat laporan bahawa air sungai itu baru-baru ini bertukar menjadi kebiruan.

Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata kawasan terbabit melibatkan satu lombong unsur nadir bumi dan dua lombong bijih timah.

Dia juga menyatakan bahawa siasatan awal mendaapti aktiviti perlombongan berhampiran berkemungkinan menjadi punca perubahan warna sungai, walaupun faktor lain tidak boleh diketepikan.

Wan Latiff menambah siasatan lanjut sedang dijalankan dan keputusannya akan diumumkan setelah laporan analisis kimia diterima.

Foto Sungai Perak yang tular bulan lalu menunjukkan air berhampiran Jambatan Kampung Sungai Papan, kira-kira 5km utara Kampung Air Ganda di Gerik, kelihatan berwarna biru.

Susulan itu, Pengarah JAS Perak, Ezanni Mat Salleh, berkata kejadian itu disyaki berpunca daripada aktiviti perlombongan dan siasatan sedang dijalankan.

6e5d5ea8b8f658b39f82696dc1cbbed3

Sementara itu, Chan menegaskan bahawa kes Sungai Perak mencerminkan kelewatan kerajaan bertindak, sama seperti isu pelepasan dari loji sisa Lynas di Gebeng pada

Julai 2022 yang masih belum diselesaikan.

Dia menjelaskan bahawa pihaknya sebelum ini juga telah menghubungi JAS mengenai perkara tersebut, tetapi tidak menerima jawapan yang memuaskan.

“Dalam kes itu, 25 soalan khusus telah dikemukakan kepada JAS mengenai sumber, komposisi, dan potensi impak alam sekitar pelepasan berwarna itu, serta kesahihan amalan pengambilan air oleh Lynas Advanced Material Plant (LAMP),” jelasnya.



Source link