KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar warga Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) memanfaatkan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan teknologi disruptif dengan penuh etika serta nilai Islam.
Baginda yang juga Canselor UniSIRAJ bertitah, AI yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah mestilah dipandu oleh akhlak, tanggungjawab dan maqasid syariah agar ia membawa manfaat kepada ummah secara keseluruhan.
Titah baginda, meskipun dunia terus berkembang pantas dengan kemunculan teknologi, namun arah tuju UniSIRAJ akan terus berpaksikan wahyu Ilahi dan sunnah Rasulullah SAW.
“Inilah asas kekuatan universiti dalam melahirkan graduan berilmu, berakhlak dan berjiwa pemimpin selaras dengan aspirasinya untuk muncul sebagai universiti Islam berwibawa di persada antarabangsa,” titah baginda bersempena Istiadat Konvokesyen Kali Ke-8 UniSIRAJ di Dewan 2020 di sini hari ini.
Konvokesyen kali ini meraikan seramai 361 graduan termasuk 15 pelajar antarabangsa.
Baginda bertitah, UniSIRAJ kini melangkah ke fasa pembaharuan strategik dengan memperkukuh bidang akademik dan penyelidikan, memperluas jaringan industri serta pengantarabangsaan selain memperkasa
pendidikan Islam berasaskan nilai-nilai yang dihayati dan diamalkan.
Titah baginda, menerusi hala tuju yang jelas, UniSIRAJ digerakkan sebagai universiti Islam bertaraf global yang mengintegrasikan ilmu, penyelidikan dan inovasi dengan nilai keinsanan serta ketamadunan.
“Universiti ini bukan sekadar institusi pendidikan, tetapi juga peneraju wacana pemikiran Islam kontemporari yang membimbing masyarakat ke arah kesejahteraan sejagat. Saya yakin UniSIRAJ akan terus maju sebagai institusi ilmu yang unggul, melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan beretika Islam menjadi duta ilmu, akhlak dan adab di pentas dunia,” titah baginda.
Sementara itu, Naib Canselor UniSIRAJ, Prof Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dalam ucapannya berkata, UniSIRAJ terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah universiti yang teguh dengan visi dan cita-cita.
“Deretan pencapaian bukan sekadar rekod, tetapi bukti kepada usaha gigih seluruh warga UniSIRAJ dalam mengangkat martabat ilmu dan agenda Sunnah di bumi Perlis.
“UniSIRAJ turut meluaskan penawaran akademiknya dengan pengenalan dua program baharu iaitu Sarjana Muamalat dan Kewangan Islam serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Halal dengan Kepujian. Program-program ini dirancang bagi memenuhi keperluan sektor semasa dan menyediakan graduan yang bersedia menyumbang di lapangan masing-masing.
“Dalam bidang penyelidikan, UniSIRAJ turut mencapai penarafan dua bintang bagi Malaysia Research Assessment (MyRA) bagi tahun 2024. Pencapaian tersebut melambangkan kesungguhan para penyelidik dalam menghasilkan karya ilmiah yang terarah dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.-UTUSAN






