Amerika Akan Mengenakan Tarif Minima 25% Pada iPhone Jika Tidak Dibuat Dalam Negara
May 23, 2025
•
Effi Saharudin
Bagi mengelakkan tarif tinggi barangan diimport daripada China, Apple meningkatkan pengeluaran di India dan Vietnam produk untuk pasaran Amerika Syarikat. Tetapi taktik Tim Cook ini dicantas sebelum berbuah selepas Presiden Trump mengatakan tarif minima 25% akan dikenakan ke atas iPhone jika pengeluarannya tidak dilakukan di Amerika Syarikat.

Peringatan ini diberikan Trump menerusi akaun Truth Social beliau baru sebentar tadi. Ini pastinya akan mendatangkan impak peningkatan harga di Amerika Syarikat tetapi di peringkat global bagi menyebarkan kos tinggi untuk pasaran iPhone nombor satu dunia. Beberapa minggu lalu Apple menganggarkan peningkatan kos $900 juta disebabkan impak tarif.
Apple tidak boleh memindahkan pengilangan iPhone ke Amerika Syarikat dalam jangka masa pendek disebabkan isu rantaian bekalan yang bergantung kepada China. Kos tenaga buruh dan juga kekurangan tenaga kerja pakar turut menjadi impian Trump ini mustahil.
Lebih seminggu lalu Amerika Syarikat bersetuju mengenakan hanya 30% tarif ke atas produk China yang diimport bersamaan pengurangan 115% berbanding tarif asal. Tetapi ini hanyalah untuk tempoh 90 hari dengan kedua-dua negara masih gagal menemukan penyelesaian kekal untuk perang perdagangan yang sudah berlarutan sejak kali pertama Trump menjadi presiden.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.