KUALA LUMPUR: Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida bakal membuat kemunculan sulung sebagai pelakon menerusi filem pertamanya, Jibril yang dijangka ditayangkan sekitar awal tahun depan.
Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman memaklumkan persetujuan untuk muncul sebagai pelakon utama dalam filem berkenaan dibuat selepas beliau beberapa kali dipujuk pengarah, Azlan Norani.
“Satu tahun saya fikirkan sebelum bagi persetujuan. Bukan apa, saya tak mahu menyusahkan orang lain disebabkan kelemahan saya hafal skrip. Pada masa yang sama, saya juga terlalu sibuk menguruskan perniagaan.
“Saya bersetuju pun kerana pengarah sedia menyusun jadual penggambaran mengikut kelapangan saya.
“Pada masa yang sama, saya mahu menghargai usaha pihak produksi kerana mereka maklumkan yang filem ini dibikin khusus untuk saya,” kongsinya.
Vida memaklumkan jalan cerita Jibril yang menyayat hati juga antara sebab mengapa beliau bersetuju untuk membintangi filem tersebut.
“Saya melakonkan watak ibu yang melalui pelbagai rintangan dan halangan dalam hidup, puas ditipu, dibuli dan dizalimi.
“Jalan ceritanya ikonik, sedih dan menyentuh perasaan. Yang menonton nanti disarankan bawa banyak tisu kerana kisahnya cukup menyayat hati,” kongsinya.
Dalam masa yang sama, Vida juga memaklumkan masyarakat akan melihat sisi berlainannya menerusi filem tersebut.
“Penonton akan terkejut apabila melihat saya menggunakan senjata seperti pistol dan pedang dalam filem ini.
“Pada masa yang sama audiens nanti akan melihat kebolehan lakonan saya. Sebenarnya ramai yang tak tahu yang saya ini pelakon air mata yang hebat,” kongsinya. – UTUSAN






