Kutipan hasil Selangor catat RM2.49 bilion setakat November 2025, meningkat 106% melebihi sasaran awal RM2.35 bilion.
SHAH ALAM: Kutipan hasil negeri Selangor mencecah RM2.49 bilion setakat 13 November 2025.
Jumlah ini merupakan peningkatan lebih 106 peratus berbanding anggaran awal tahun penuh sebanyak RM2.35 bilion.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri yakin jumlah itu dapat mencapai lebih RM2.7 bilion pada akhir 2025.
“Ini merupakan satu pencapaian amat memberangsangkan bagi kerajaan negeri dalam keadaan ekonomi dan geopolitik yang semakin mencabar pada ketika ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor.
Rizab Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Selangor berjumlah RM4.83 bilion setakat 12 November 2025.
Rizab tersebut terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan.
Rizab kerajaan negeri terus meningkat sejak 2018 yang berjumlah RM2.7 bilion.
Prestasi kewangan kerajaan negeri sehingga 12 November 2025 turut mencatat lebihan sebanyak RM402.58 juta.
Lebihan ini susulan tindakan yang sentiasa mengamalkan pendekatan perbelanjaan berhemah. – Bernama
Post Views: 1






