Malaysia Oversight

Roti Gardenia: Kenyataan media PN dakwa DAP cetus provokasi palsu

By MkiniBM in November 14, 2025 – Reading time 2 minute
Roti Gardenia: Kenyataan media PN dakwa DAP cetus provokasi palsu


Bersatu hari ini menafikan bahawa PN mengeluarkan kenyataan media berkaitan isu seorang wakil rakyat yang didakwa merendahkan pengundi di Sabah.

Kenyataan yang tular di media sosial itu antara lain mengatakan PN memandang serius perkara tersebut dan perbuatan wakil rakyat berkenaan sama sekali tidak boleh diterima.

Ia juga menyatakan kejadian itu berpunca daripada provokasi DAP.

“Kenyataan ini palsu dan telah tersebar di media sosial,” kata Bersatu di halaman Facebook mereka sambil menyiarkan foto kenyataan media berkenaan.

Terdahulu Kuala Ketil, Mansor Zakaria mengeluarkan kenyataan berbunyi “Orang Sabah tu kempen dia bagi roti Gardenia ja” dalam sidang Dun Kedah baru-baru ini.

Kenyataan itu merujuk kepada penduduk Malaysia Timur di Semenanjung, yang gemar membeli roti Gardenia dalam kuantiti banyak apabila pulang ke Sabah atau Sarawak. Jenama roti itu popular kerana harganya lebih mahal di Malaysia Timur.

ac0131bcd8d284b872e11cf60b78ea06

Susulan itu Mansor yang juga exco Perumahan, Kesihatan dan Tempatan Kedah, memohon maaf selepas kenyataannya mendapat kritikan dan dianggap merendahkan rakyat Sabah.

“Saya mohon maaf atas ucapan semalam dan saya tarik balik … dengan niat jujur ikhlas, menarik balik apa yang telah saya sampaikan semalam jika ia menyinggung hati rakyat Sabah,” katanya.

“Bila saya fikir-fikir balik, sebenarnya saya tidak berniat menghina rakyat Sabah, kita berbahas tentang apa yang diceramahkan di Sabah mengenai Kedah ni.

“Kita membuat perbandingan tersebut …jadi saya tak mahu panjangkan isu ini,” jelasnya.

Pengerusi Sabah Bersatu, Ronald Kiandee, dalam satu hantaran ringkas di media sosial, mengecam keras kenyataan Mansor, dengan menyifatkan tindakan itu sebagai memalukan.

“Exco roti Gardenia. ‘Palui’ (bodoh). Memalukan diri sendiri,” tulisnya tanpa menyebut mana-mana pihak secara khusus.

Pemuda Amanah Perak juga mengecam kenyataan Mansor, yang dilihat memperlekeh rakyat Sabah dengan menyatakan sokongan mereka boleh diraih hanya menerusi roti Gardenia.



Source link