Malaysia Oversight

Empat sekeluarga didakwa cederakan Prince Syed

By MkiniBM in November 14, 2025 – Reading time 2 minute
Empat sekeluarga didakwa cederakan Prince Syed


Empat individu keluarga mentua pempengaruh media sosial Syed Muhammad Shah Hasif Syed Othman atau dikenali sebagai “Prince Syed”, didakwa di Mahkamah Majistret di Klang hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dan mencederakan pempengaruh berkenaan.

‎‎Muhammad Syahmi Faiz Ishak, 31, Ishak Saif, 59, Aminah Haniffa, 55, dan Muhammad Ikhwan Alif Ishak, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat.

‎‎Mengikut pertuduhan, Muhammad Syahmi didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) milik isteri pempengaruh itu, Fatin Syazwani Ishak, 27, sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM560 di sebuah kawasan perumahan di Sungai Bertek, Klang pada 2 Nov lepas. ‎‎

‎‎Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

‎‎Ishak, Aminah dan Muhammad Ikhwan pula didakwa secara bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Syed Muhammad Shah Hasif, 33, di tempat dan tarikh sama.

‎‎Pertuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun serupa yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

‎‎Timbalan Pendakwa Raya Salman Alfarisi Nawawi tidak menawarkan jaminan kepada Muhammad Syahmi manakala tiga tertuduh lain ditawarkan jaminan RM4,000 setiap seorang.

‎‎Peguam K. Nathiya mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan yang rendah terhadap kesemua anak guamnya.

‎‎Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 terhadap Muhammad Syahmi beserta syarat tambahan, iaitu perlu melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan, manakala tiga lagi tertuduh dibenarkan jaminan RM1,500 setiap seorang.

‎‎Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Jan tahun depan.

‎- Bernama



Source link