Malaysia Oversight

Langkawi bukan bahan eksperimen

By Utusan in November 14, 2025 – Reading time 2 minute
Langkawi bukan bahan eksperimen


LANGKAWI: Cadangan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok supaya Pulau Langkawi diserahkan kepada Persekutuan terus mendapat kritikan sehingga dianggap biadap.

Ahli Dewan Undangan Negeri () Kuah, Amar Pared Mahamud berkata, pulau pelancongan terkenal itu bukan bahan eksperimen atau modal politik mana-mana pihak.

Katanya, kenyataan Teresa juga tidak menghormati sejarah dan menyentuh kedaulatan negeri serta Sultan Kedah.

“Begitu juga kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang menyatakan ‘orang sudah tidak mahu ke Langkawi’. Kenyataan seperti ini tidak berfakta, dangkal dan memperlekeh usaha penggiat industri pelancongan serta rakyat Langkawi yang saban hari bekerja keras membangunkan pulau ini.

“Lebih mengecewakan, sudahlah hasil cukai dan pendapatan Langkawi majoritinya diserap Persekutuan, kini ada pula usaha memperlekehkan dan mempolitikkan kedudukan pulau berdaulat ini,” katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Amar Pared turut menjemput Teresa dan Rayer agar turun sendiri ke Langkawi bagi mengelak lebih banyak kenyataan tidak bertanggungjawab.

“Ini bukan sahaja tidak adil, malah satu penghinaan terhadap rakyat Kedah. Datang lihat dengan mata, dengar suara rakyat dan fahami realiti sebenar sebelum mengeluarkan kenyataan sesuka hati,” katanya.

Semalam, Teresa mengkritik negeri Kedah yang didakwanya gagal membangunkan Pulau Langkawi, sebaliknya pula bercita-cita mahu mengambil alih Pulau Pinang.

Beliau berkata, Langkawi yang kaya dengan potensi pelancongan sepatutnya boleh dimajukan dengan lebih baik jika diurus oleh Kerajaan Persekutuan dan mencadangkan Langkawi ditadbir sebagai Wilayah Persekutuan atau zon antarabangsa. – UTUSAN





Source link