Malaysia Oversight

Lelaki warga emas maut dalam kebakaran rumah

By Utusan in November 14, 2025 – Reading time 2 minute
Lelaki warga emas maut dalam kebakaran rumah


IPOH: Seorang lelaki warga emas dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Perpaduan Ria, Ulu Kinta dekat Tambun hari ini.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, maklumat kebakaran melibatkan rumah teres kelas A itu diterima pada pukul 1 petang.

Katanya, ketika jentera bersama anggota tiba di lokasi kejadian, didapati api sedang marak dan kediaman tersebut musnah terbakar kira-kira 80 peratus.

“Ketua Operasi melaksanakan penilaian risiko seterusnya mengaplikasikan konsep ‘RECEO’ dengan mengarahkan anggota membuat kerja-kerja pemadaman bersumberkan air dari tangki jentera dan pili bomba yang berdekatan.

“Setelah operasi pemadaman selesai dilakukan, anggota bomba yang membuat pemeriksaan telah menemui seorang lelaki berusia 80 tahun yang mati terbakar di atas lantai dalam bilik kedua rumah berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kebakaran itu turut memusnahkan sebuah Proton Iswara Aeroback, sebuah Perodua Viva dan sebuah motosikal, manakala sebuah Perodua Kancil hanya mengalami kerosakan kecil.

Katanya, empat rumah berhampiran serta sebuah kereta Perodua Myvi turut mengalami kerosakan akibat bahang kebakaran itu.

“Mayat mangsa diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan nilai kerugian.

“Unit Anjing Pengesan (K9) bomba telah dipanggil untuk membantu siasatan. Operasi yang disertai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun dan BBP Ipoh serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Menglembu dan Bercham itu tamat pada pukul 4.20 petang,” katanya. – UTUSAN





Source link