Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Ali akan menggantikan Ewon Benedick sebagai wakil Sabah dalam jawatankuasa teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
Ini susulan peletakan jawatan Ewon daripada kabinet sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi pada 8 November.
Penggantian itu diumumkan oleh jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, dalam sidang media hari ini.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Armizan, yang dilaporkan berkata kabinet telah mengarahkan perbincangan segera diadakan untuk memenuhi 40 peratus bahagian hasil persekutuan Sabah yang diperoleh daripada negeri itu.
Free Malaysia Today juga melaporkan Armizan sebagai berkata bahawa perbincangan dengan kerajaan Sabah akan bermula di peringkat perkhidmatan awam, memandangkan kerajaan negeri semasa kini berada dalam status sementara menjelang pilihan raya negeri (PRN) pada 29 November.
Ketua setiausaha Kementerian Kewangan, Johan Mahmood Merican telah ditugaskan untuk mewakili pihak persekutuan dalam perbincangan tersebut manakala setiausaha negeri Sabah, Safar Untong, akan mewakili negeri itu.
Mesyuarat pertama dijangka berlangsung di Menara Kinabalu di Kota Kinabalu pada Isnin (17 Nov).
“Perkembangan ini menunjukkan keseriusan kerajaan persekutuan dalam melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu,” kata Armizan seperti dilapor.
Sebelum ini, semasa mengemukakan peletakan jawatannya, Ewon berkata keputusannya itu kerana dia tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu 40 peratus hasil Sabah.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudian mengesahkan bahawa kerajaan persekutuan hanya akan merayu seebahagian keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu termasuk yang menyatakan bahawa Putrajaya dan kerajaan Sabah telah melakukan kesilapan besar sejak 1974.
Anwar menegaskan bahawa rayuan itu tidak akan menjejaskan keputusan mengenai hak Sabah kepada 40 peratus bahagian hasil persekutuan yang dikutip daripada negeri berkenaan.
Sebagai tindak balas, Ewon, yang juga pengerusi Pakatan Harapan Sabah dan presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), menegaskan bahawa “rayuan tetap adalah rayuan”.
Semalam, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuannya terhadap sebahagian daripada keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan kerajaan persekutuan untuk mengadakan semakan semula dengan kerajaan Sabah.
AGC juga merayu terhadap penemuan mahkamah mengenai bukti yang berkaitan dengan kewujudan semakan berterusan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid sebelum ini memutuskan bahawa kerajaan persekutuan telah bertindak secara menyalahi undang-undang dan di luar kuasanya di bawah Perlembagaan Persekutuan dengan gagal menghormati 40 peratus bahagian hasil persekutuan Sabah selama hampir lima dekad.
Berikutan itu, dia mengisytiharkan perintah semakan geran khas yang dikeluarkan bersama oleh kerajaan persekutuan dan negeri adalah “menyalahi undang-undang, ultra vires (melangkaui kuasa), dan tidak rasional”.






