Pemuda Amanah Perak dengan tegas mengecam kenyataan seorang Adun PAS di Kedah yang dilihat memperlekeh rakyat Sabah dengan menyatakan sokongan mereka boleh diraih hanya menerusi roti Gardenia.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pemuda Amanah Perak Khairol Najib Hashim berkata kenyataan Adun Kuala Ketil, Mansor Zakaria itu bersifat menghina dan dengan jelas menunjukkan PAS dan PN memandang rendah maruah orang Sabah.
“Beginikah cara mereka merancang menawan sokongan rakyat negeri lain?”
“PAS mungkin lupa bahawa rakyat Sabah bukanlah boleh diperkotak-katikkan. Rakyat Sabah telah lama membuktikan keberanian dan keteguhan mereka dalam mempertahankan maruah negeri serta hak mereka sebagai rakyat Malaysia.
“Menghina mereka dengan kata-kata sedemikian adalah satu penghinaan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Khairul mengulas kenyataan Mansor, yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, ketika sidang DUN dua hari lalu yang berbunyi: “Orang Sabah tu kempen dia bagi roti Gardenia ja.”

Ungkapan tersebut dipercayai merujuk kepada kebiasaan penduduk Sabah dan Sarawak yang membawa pulang roti Gardenia apabila berkunjung ke Semenanjung.
Rakaman ucapan Mansor di sidang DUN mengenai usaha menarik sokongan rakyat Sabah menjelang pilihan raya negeri akhir bulan ini mengundang kritikan dan kecaman pelbagai pihak.
Susulan itu, Mansor membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, Khairul berkata kenyataan tersebut adalah tanda penduduk Sabah untuk menolak PAS.
“Pemikiran seperti ini cukup berbahaya dan menunjukkan betapa perlunya rakyat Sabah menolak parti yang tidak tahu menghormati kedaulatan dan maruah mereka.
“Rakyat Sabah bukan murah. Harga mereka bukan sebungkus roti,” katanya lagi.






