Adun Kuah Amar Pared Mahamud menempelak Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok susulan cadangan untuk menyerahkan Pulau Langkawi di Kedah yang dipimpin PAS kepada kerajaan persekutuan.
Adun Bersatu itu berkata kenyataan pemimpin DAP berkenaan satu kenyataan biadab dan tidak menghormati sejarah kedaulatan negeri Kedah serta Sultan Kedah.
“Langkawi bukan bahan eksperimen atau modal politik sesiapa,” tegasnya dalam kenyataan media hari ini.
Amar Pared turut mengecam seorang lagi pemimpin DAP, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer kerana mendakwa “orang sudah tidak mahu ke Langkawi”.
Menurutnya, kenyataan seperti itu tidak berfakta, dangkal, dan memperlekehkan usaha penggiat industri pelancongan serta rakyat Langkawi yang saban hari bekerja keras membangunkan pulau berkenaan.
“Lebih mengecewakan, sudahlah hasil cukai dan pendapatan Langkawi majoritinya diserap kerajaan persekutuan, kini ada pula usaha memperlekehkan dan mempolitikkan kedudukan pulau berdaulat ini.
“Ini bukan sahaja tidak adil, malah satu penghinaan terhadap rakyat Kedah,” katanya.

Justeru, Amar Pared menjemput Kok dan Rayer datang ke Langkawi bagi melihat dan memahami realiti sebenar sebelum mengeluarkan kenyataan.
Semalam Kok, mengkritik kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS yang didakwanya gagal membangunkan Langkawi, sebaliknya pula bercita-cita mahu mengambil alih Pulau Pinang.
Katanya, Langkawi yang kaya dengan potensi pelancongan sepatutnya boleh dimajukan dengan lebih baik jika diurus oleh kerajaan Persekutuan. Dia seterusnya mencadangkan kerajaan pusat mentadbir Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan atau atau Zon Antarabangsa bagi membolehkan pembangunan sektor pelancongannya lebih terancang.
Terdahulu, Umno Kedah menyifatkan cadangan Naib Presiden DAP itu sebagai tidak menghormati tanah jajahan takluk di bawah naungan Sultan Kedah.
Pengerusinya, Mahdzir Khalid berkata, cadangan berkenaan juga dianggap tidak sensitif dan menyinggung perasaan rakyat negeri itu.






