Presiden Upko, Ewon Benedick menyuarakan kebimbangan bahawa Sabah boleh hilang kelebihan perlembagaan sekiranya pengundi memilih pemimpin tempatan daripada parti-parti nasional, di mana keputusan mereka, katanya, akhirnya bergantung kepada “seorang presiden parti di seberang laut”.
Ahli Parlimen Penampang itu berkata kerajaan negeri yang sehaluan dengan parti-parti beribu pejabat di Semenanjung Malaysia mungkin berdepan arahan bertentangan ketika berunding dengan Putrajaya mengenai tuntutan hak 40 peratus hasil negeri Sabah
Ewon, yang baru-baru ini meletak jawatan daripada kabinet kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan persekutuan merayu sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi mengenai hak 40 peratus itu, juga membawa Upko keluar daripada Pakatan Harapan.
“Bayangkan jika kerajaan Sabah dipimpin parti-parti yang bukan parti tempatan. Bila mereka berunding soal 40 peratus itu, arahan siapa yang mereka akan ikut? Arahan presiden parti mereka ‘di seberang laut’, atau hak perlembagaan rakyat Sabah?
“Rakyat Sabah akan rugi kerana apa yang sepatutnya kita dapat akan terus tertangguh,” katanya dalam ucapan pada Konvensyen Rakyat “Sabah First” anjuran parti itu di Penampang semalam.
Dia berkata kebimbangan itu menunjukkan bagaimana keputusan dibuat dalam parti-parti nasional, bukan sekadar andaian.
“Jika menteri dan timbalan ketua menteri perlu merujuk kepada presiden mereka di seberang laut, Sabah akan rugi. Apa yang menjadi hak kita akan terus ditangguhkan,” katanya, merujuk kepada pemimpin parti nasional yang mungkin dilantik dalam kerajaan negeri sekiranya mereka menang pilihan raya Sabah.
Sabah akan mengadakan pilihan raya pada 29 November, dengan hari penamaan calon ditetapkan esok.
Ewon merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober yang mengarahkan kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah menyelesaikan isu tuntutan 40 peratus hasil negeri dalam tempoh 180 hari.

Menurutnya, keputusan untuk keluar daripada kabinet dibuat selepas meneliti penghakiman bertulis mahkamah dan hujahan yang dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurutnya, hujah AGC tidak selaras dengan jaminan diberikan kepada Sabah melalui Perjanjian Malaysia 1963.
“Saya tidak boleh berada dalam kabinet apabila prinsip yang kita perjuangkan, iaitu 40 peratus yang sepatutnya menjadi hak Sabah, tidak diberikan perhatian sewajarnya.
“Kedudukan peguam negara dalam proses mahkamah itu menjelaskan segalanya kepada saya.
“Sebab itu saya mempercepatkan peletakan jawatan saya, supaya mesejnya jelas. Jangan tangguh. Jangan alih perhatian. Laksanakan saja 40 peratus untuk Sabah,” kata Ewon yang menggesa rakyat Sabah membaca penghakiman mahkamah untuk memahami isu tersebut.
“Empat puluh peratus itu sudah pun menjadi hak kita. Ia tidak sepatutnya perlu dirayu. Yang diperlukan ialah pelaksanaan,” tegasnya.
Ewon turut menegaskan bahawa komitmen kerajaan persekutuan untuk membangunkan Sabah tidak sama dengan hak tuntutan 40 peratus hasil negeri yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kebertanggungjawaban
Bekas menteri itu kemudian membangkitkan persoalan mengenai kebertanggungjawaban politik dan sama ada rakyat Sabah mahu masa depan mereka ditentukan oleh pemimpin yang mandatnya di Sabah, atau mereka yang hierarki politiknya bertumpu di Kuala Lumpur.
“Hanya parti Sabah memahami keperluan, impian dan masa depan rakyat Sabah. Kita tidak boleh terus terperangkap dengan putar belit dan helah (pemimpin-pemimpin ini),” katanya.
Ewon menambah Upko hanya akan bekerjasama dengan parti-parti yang selari dengan agenda “Sabah First”, sambil menyatakan bahawa parti itu akan bertanding tidak kurang daripada 20 kerusi.
“Upko akan bekerjasama dengan parti yang menerima pakai visi dan agenda ‘Sabah First’,” katanya.
Merujuk kepada insiden tular di Gaya Street di mana seorang anak muda Sabah bertanya kepada perdana menteri tentang pembayaran 40 peratus itu, Ewon berkata sentimen rakyat telah berubah dengan jelas.
Dia menambah Upko akan bertanding dalam pilihan raya negeri dengan logo baru serta fokus diperbaharui terhadap hak negeri, tuntutan 40 peratus dan reformasi institusi yang digariskan dalam MA63.






