Dua individu termasuk pengasas sebuah program motivasi rumah tangga eHati yang berdepan pendakwaan di mahkamah dipercayai telah melarikan diri ke luar negara.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata wanita itu dan suaminya dipercayai meninggalkan negara pada 13 Okt iaitu sehari sebelum pertuduhan terhadap mereka dibuat di mahkamah.
“Semakan mendapati mereka keluar mengikut laluan sah sebelum waran tangkap dikeluarkan,” katanya pada sidang media pelupusan barang kes dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.
Shazeli berkata polis telah mengenal pasti negara pasangan itu melarikan diri dan sedang berhubung dengan rakan strategik di negara terbabit untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, beliau mengesahkan mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap ke atas dua individu termasuk pengasas eHati kerana gagal hadir di mahkamah pada hari pertuduhan.
Media melaporkan pengasas eHati bersama seorang lagi individu itu sepatutnya didakwa pada 14 Okt bersama-sama pasangan suami isteri yang juga merupakan doktor dalam bidang kesihatan dan kecantikan.
Sebelum ini, 95 individu dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung penganjuran program motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15 di Shah Alam pada September tahun lepas.
– Bernama






