Peguam, Naran Singh (gambar utama, kanan) mengecam teguran seorang anggota Majlis Peguam terhadapnya berhubung apa yang disifatkan sebagai tindakan berdiam diri badan itu mengenai kes kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Syamsul Haris Shamsudin.
Naran yang mewakili keluarga Syamsul juga berkata, Majlis Peguam gagal menunjukkan ketekalan dalam menangani kes-kes kematian mencurigakan, termasuk melibatkan Allahyarham.
Dia menafikan cuba mempolitikkan isu tersebut – seperti yang disuarakan Pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-undang Jenayah Majlis Peguam S Vivekananda – dan menegaskan perbandingan yang dibuat antara kes Syamsul dan kes Teoh Beng Hock adalah wajar bagi menunjukkan badan itu bertindak tidak selari.
“Dia kena jelas, adakah itu pandangan dia sendiri atau suara rasmi Majlis Peguam?
“Saya tidak dakwa Majlis Peguam jadi parti politik. Tugas mereka ialah bersuara bila ada ketidakadilan, bila siasatan tak dibuat dengan betul,” katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, Naran mempersoalkan DAP dan Majlis Peguam yang dikatakan berdiam diri berhubung kes kematian pelajar tersebut.
Dia turut membangkitkan bagaimana Majlis Peguam bertindak terhadap kematian Teoh Beng Hock pada 2009.
Dalam kenyataan balas, Vivekananda berkata tidak wajar bagi Naran untuk mempolitikkan isu tersebut dan menggambarkan Majlis Peguam seperti sebuah parti politik.
Vivekananda berkata Majlis Peguam tidak akan serta-merta mengambil kes-kes persendirian yang bersifat sensasi mahupun yang diselubungi spekulasi pelanggaran hak atau penindasan.
“Dan pihak keluarga telah diwakili dengan baik oleh Naran,” katanya sambil menegaskan badan itu perlu kekal neutral dalam keadaan tertentu.
Mengulas lanjut, Naran yang juga Naib Presiden Gerakan berkata Majlis Peguam sebelum ini menunjukkan minat mendalam dalam kes berprofil tinggi, seperti kematian Teoh dan yang melibatkan ahli politik seperti Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Tapi kenapa dalam kes ini senyap? Dulu sanggup turun padang, sekarang tidak,” katanya lagi.
Syamsul, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai. Dia telah menjalani latihan Palapes di Johor sebelum kematiannya.
Awal bulan ini, ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun memulakan tindakan undang-undang terhadap Kementerian Kesihatan (KKM) dan beberapa pihak lain berhubung dakwaan penangguhan laporan rasmi dan hasil bedah siasat berhubung kematian anaknya.






