Jika anda mencari sebuah komputer gaming mampu milik yang cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan-permainan e-sukan moden seperti DoTA 2, League of Legends, Counter-Strike, Valorant dan sebagainya di rumah, Acer Malaysia hari ini mengumumkan bahawa komputer desktop Acer Predator Orion 3000 baru-baru ini telah dikemaskini dengan komponen-komponen gaming yang baru.

Komputer Acer Predator Orion 3000 hadir dalam rangka dengan muatan 28 liter yang dilihat agak padat, dan merumahkan komponen-komponen seperti pilihan cip pemprosesan Intel Core i7-14700F atau Intel Core i5-14400F yang bergantung kepada keperluan anda. Ia juga merumahkan memori DDR5 sehingga 32GB dan gabungan storan SSD dan cakera keras 2TB setiap satu.

Dari segi komponen kad grafik pula, Predator Orion 3000 ini hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5060 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan pelbagai permainan komputer e-sukan seperti yang saya katakan tadi.

Ia hadir dengan sistem penyejukan udara terbina untuk menyejukkan komponen CPU, dan juga dua kipas RGB 120mm di bahagian hadapan dan belakang untuk mengalirkan udara kedalam dan keluar dari rangka komputer, sambil menambahkan estetika yang cantik pada komputer ini.

Acer Malaysia bahawa komputer desktop Acer Predator Orion 3000 ini sudahpun mula ditawarkan di pasaran tempatan pada harga permulaan RM4999 ataupun RM5999 bergantung kepada konfigurasi komponen yang dimahukan. Ia boleh dibeli melalui kedai atas talian Shopee dan juga Lazada.






