Pihak berkuasa bola sepak Turkiye pada Khamis mengenakan penggantungan sementara terhadap 102 pemain profesional sebagai sebahagian daripada siasatan yang semakin meluas berhubung kegiatan pertaruhan haram, lapor Xinhua.
Lembaga Disiplin Bola Sepak Profesional Persekutuan Bola Sepak Turkiye (TFF) menggantung 25 pemain dari Super Lig dan 77 pemain dari Liga Pertama (divisyen kedua), dengan tempoh hukuman antara 45 hari hingga 12 bulan. Siasatan meneliti dakwaan terhadap 1,024 pemain bola sepak dan 102 daripada mereka dikenakan tindakan.
Antara kes paling mendapat perhatian ialah pemain pertahanan Galatasaray dan pemain skuad kebangsaan Turkiye, Eren Elmali, yang digantung selama 45 hari dan digugurkan daripada skuad kebangsaan.
Awal minggu ini, Elmali mengaku di Instagram yang dia pernah membuat pertaruhan pada satu perlawanan bola sepak kira-kira lima tahun lalu, namun menegaskan ia tidak membabitkan pasukannya sendiri. Beliau menyertai Galatasaray awal tahun ini.
Rakan sepasukannya, Metehan Baltaci, yang mewakili pasukan Bawah 21 tahun Turkiye digantung selama sembilan bulan. Pemain Konyaspor Alassane Ndao pula dikenakan hukuman paling lama iaitu 12 bulan.
TFF menegaskan yang pemain yang dirujuk secara sementara kepada lembaga disiplin tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan sepanjang siasatan berlangsung.
Disebabkan skala siasatan yang besar, TFF mengumumkan yang perlawanan Liga Kedua dan Ketiga ditangguhkan selama dua minggu manakala perlawanan Super Lig dan Liga Pertama akan diteruskan seperti biasa.
Persekutuan itu turut mendedahkan yang mereka memulakan perbincangan segera dengan FIFA untuk membenarkan pasukan yang terjejas akibat penggantungan mendapat tempoh perpindahan 15 hari bagi mengukuhkan skuad mereka.
– Bernama-Xinhua






