Perhimpunan “Tangkap Jerung” yang menyasarkan ketua menteri sementara Sabah, Hajiji Noor dan sekumpulan Adun Sabah yang dikaitkan dengan skandal rasuah perlombongan berakhir dengan aman selepas kira-kira dua jam berhimpun di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Pendedah maklumat, Albert Tei mengetuai himpunan sekitar 100 peserta yang terdiri daripada aktivis dan pempengaruh media sosial yang selama ini menggerakkan seruan kepada pengikut mereka supaya SPRM bertindak terhadap para penyandang tersebut.
Menjelang hari penamaan calon rasmi untuk PRN Sabah ke-17 esok, Tei menggesa pengundi menilai pilihan mereka selepas GRS dan Star setakat ini menamakan 10 calon yang terpalit melalui siri pendedahan video yang dibuatnya.
“Jika anda mahu ‘jerung-jerung’ ini didakwa, jangan undi mereka.

“Sebab apabila mereka kalah, mereka tidak lagi mempunyai ‘nilai’ untuk dilindungi,” kata Tei, yang turut didakwa kerana menawarkan rasuah.
Naratif “jerung lawan ikan bilis” itu merujuk kepada dakwaan tindakan hanya diambil terhadap dua Adun — Andi Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Yusof Yacob (Sindumin) — kerana didakwa menerima rasuah daripadanya, sedangkan majoriti Adun lain yang dipetik namanya tidak dikenakan tindakan.
Para peserta protes yang berpakaian hitam itu turut mengangkat plakad memaparkan wajah dan nama Adun Sabah yang terlibat, kesemuanya sebelum ini menafikan tuduhan tersebut.
Mereka juga memakai topeng wajah Hajiji dan menyindir nama GRS, daripada gabungan rakyat kepada gabungan “rasuah”.

SPRM sebelum ini membersihkan nama Hajiji, yang mempertahankan kerusi Sulaman, daripada sebarang salah laku.
Bantahan yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga tengah hari itu turut menampilkan beberapa penceramah termasuk aktivis Rafidah Ibrahim dan M Mythreyar.
Mereka tampil menyuarakan dakwaan ketidakadilan oleh pihak berkuasa — bukan sahaja dalam isu rasuah, tetapi juga kes pengusiran paksa di Kg Sungai Baru dan kini di Kg Sungai Papan.
Mythreyar turut mengimbas penahanannya dalam lokap IPD Klang Selatan malam sebelumnya selepas ditahan atas dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Merujuk Adun Sabah yang tidak dinamakan, Mythreyar berkata, “mereka ini lebih teruk daripada ‘jerung’ kerana jerung pun makan hanya apabila lapar. Tapi mereka ini ‘makan’ walaupun sudah ‘kenyang’ (kaya).”
Sebagai sokongan kepada himpunan antirasuah itu, PAS Wilayah Persekutuan awal minggu ini menggesa rakyat seluruh negara hadir sebagai solidariti terhadap Tei, yang menurut mereka menunjukkan keberanian dan integriti besar dalam mendedahkan amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kerajaan.
PAS Wilayah Persekutuan hari ini bagaimanapun tidak dilihat menggerakkan ahlinya, tetapi diwakili oleh ketua Pemudanya, Azmer Syazwan.
Menutup perhimpunan tersebut, anak menantu kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang juga Pesuruhjaya PAS Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad menyeru supaya SPRM diberikan kuasa pendakwaan dan ketua SPRM dipilih melalui proses pemilihan, bagi mengukuhkan kebebasan agensi itu.







