ULASAN | Baru-baru ini tular ulasan panjang daripada seorang ahli politik yang menuduh Presiden Amanah, Mohamad Sabu sebagai membuat “retorik” apabila menyeru orang Melayu meninggalkan politik perkauman.
Katanya, Amanah bercakap soal Islam progresif dan keadilan tapi semua calonnya Melayu dan bertanding di kawasan majoriti Melayu. Lalu disimpulkan bahawa Amanah masih bergantung pada politik identiti.
ULASAN | Mat Sabu seru tinggalkan politik perkauman – retorik dalam paradoks
Masalahnya, hujah seperti ini datang daripada seseorang yang nampaknya tidak lagi faham realiti politik, apatah lagi geografi pilihan raya di Malaysia.
Mari saya ajar satu persatu.
Bertanding di kawasan Melayu bukan perkauman tapi realisme politik
Pertama, Malaysia ini majoritinya Melayu. Secara logiknya, kebanyakan kerusi Parlimen pun berada di kawasan majoriti Melayu. Amanah bertanding di kawasan Melayu bukan kerana ia parti etnosentrik tetapi kerana ia mahu menawarkan naratif baru kepada orang Melayu, iaitu politik nilai dan bukan politik duit.
Menolak politik perkauman bukan bermakna calon mesti diletakkan di Bukit Bintang atau Ipoh Timur. Ia bermakna mengubah budaya politik Melayu supaya lebih berasaskan prinsip, bukan sentimen.
Dan kalau benar mahu mendidik bangsa, bukankah lebih baik bermula dengan bangsanya sendiri?
Mat sabu tokoh konsisten perjuang politik rentas kaum
Saya pelik dengan tuduhan bahawa seruan tinggalkan politik perkauman ini adalah retorik semata-mata, sedangkan sejak dulu ketika Mat Sabu masih di dalam PAS, dia adalah antara pemimpin yang menggerakkan Pakatan Rakyat, sebuah gabungan politik yang berbilang kaum.
Hatta, sehingga dibuang oleh PAS bersama beberapa pemimpin lain, dia tetap teguh dengan prinsip dan bersama PKR dan DAP mewujudkan Pakatan Harapan.
Ini adalah bukti bahawa apa yang diperjuangkan Mat Sabu serta Amanah adalah konsisten dan bukan retorik semata mata.
Dua kali dalam kerajaan tanda relevan
Amanah bukan parti besar. Namun kecil tidak bermakna tidak relevan. Dalam tempoh sepuluh tahun, Amanah sudah dua kali menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat pada 2018 dan 2022.
Itu bukan hasil politik perkauman, tapi hasil politik matang yang berpaksikan nilai keadilan dan tata kelola baik. Amanah membina jambatan antara idealisme Islam dan pragmatisme pentadbiran moden – sesuatu yang gagal dilakukan banyak parti lain yang lebih sibuk menjual soal kaum tapi gagal menjual idea.
Jika parti kecil ini mampu duduk semeja membentuk kerajaan dua kali, jelas rakyat termasuk orang Melayu dapat menilai Amanah bukan kerana kaum, tapi kerana integriti dan prinsip.
Seruan Mat Sabu bukan retorik, tapi refleksi
Mat Sabu tidak menyeru orang Melayu meninggalkan politik Melayu. Dia menyeru orang Melayu meninggalkan politik perkauman sempit.
Itu beza besar yang ramai buat-buat tidak faham.
Yang diperjuangkan Mat Sabu ialah politik Melayu yang berani bersaing, bukan bersandar. Orang Melayu yang memimpin, bukan menakut-nakutkan. Orang Melayu yang berdikari atas maruah, bukan menagih simpati.
Kalau ini pun dianggap retorik, barangkali penulis itu lebih suka orang Melayu kekal selesa di bawah slogan tanpa hasil.
Politik nilai bukan tentang siapa lawan siapa
Ada yang menyindir Amanah kerana bersekongkol dengan DAP dan Umno dalam kerajaan semasa. Tapi persoalannya, kalau membina kerjasama untuk kestabilan negara dianggap pengkhianatan, adakah politik matang hanya diukur melalui siapa kita benci, bukan apa kita perjuangkan?
Amanah memilih untuk menjadi jambatan, bukan benteng penghalang. Parti ini tidak menjual bangsa, tapi memimpin wacana baru politik Melayu-Islam yang lebih rasional dan berperadaban.
Bagi mereka yang lebih selesa hidup atas naratif “kami Melayu sebenar” mungkin sukar menerima bahawa Islam progresif versi Amanah semakin diterima oleh rakyat yang mahu politik berasaskan nilai, bukan label.
Amanah tidak menjanjikan syurga politik. Ia tidak menabur janji bulan dan bintang atau menakutkan orang dengan “neraka demokrasi”.
Amanah kecil, tapi ideanya besar. Ia bercakap tentang akhlak dalam politik dan tentang rahmah dalam pentadbiran.
Itulah sebabnya Amanah kekal dalam arus perdana, sedangkan banyak parti yang kononnya “juara Melayu” kini hanya tinggal papan tanda, stok bendera dalam stor dan kumpulan WhatsApp.
FADLI UMAR AMINOLHUDA adalah aktivis tegar Amanah dan insan yang berpijak kepada realiti.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.






