Malaysia Oversight

Sepatutnya buat lagu bersama – Kidd Santhe terkejut penyanyi rap ditahan seludup dadah

By Utusan in November 14, 2025 – Reading time 2 minute
Sepatutnya buat lagu bersama - Kidd Santhe terkejut penyanyi rap ditahan seludup dadah


KUALA LUMPUR: Penyanyi rap, Kidd Santhe mengakui terkejut apabila dimaklumkan rakan baiknya yang juga seorang rapper ditahan pihak berkuasa Laos atas cubaan menyeludup dadah.

Menurut Kidd, sepanjang perkenalan mereka, individu berkenaan dikenali sebagai seorang komposer yang tekun berkarya serta mampu merakam banyak lagu dalam tempoh singkat.

“Saya rasa sangat sedih ketika membaca laporan itu buat kali pertama. Memang sukar hendak percaya. Namun, saya sentiasa menyokong pihak pengurusan dan seluruh kru. Mereka boleh menghubungi saya pada bila-bila masa jika memerlukan bantuan.

“Individu itu antara yang saya hormati kerana etika kerjanya. Bayangkan, dia mampu merakam banyak lagu dalam sehari. Memang ada arkib katalog yang besar,” katanya.

Kidd ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbaharunya, Ambani Money, di sini baru-baru ini.

Tambah Kidd, mereka bukan sahaja pernah berkolaborasi menerusi projek video muzik Penjahat, malah turut merancang untuk menghasilkan sebuah lagu bersama tahun ini.

“Kami sudah berbincang melalui mesej. Sepatutnya saya pergi ke studionya untuk proses rakaman,” katanya.

Bagaimanapun, Kidd enggan membuat penghakiman awal, sebaliknya percaya jika sahabatnya itu benar melakukan perbuatan berkenaan, pasti wujud alasan tersendiri.

“Pada akhirnya, setiap orang membuat keputusan berdasarkan situasi mereka. Mungkin ketika itu dia berada dalam keadaan sukar, tambahan pula dia ada keluarga.

“Kita tidak tahu apa yang seseorang terpaksa dilakukan. Kita tak boleh terus menghukum. Walaupun tindakan itu salah dan ada cara lebih baik, kita tidak tahu tekanan sebenar yang dihadapi,” katanya.

Sementara itu, Kidd turut memberi contoh situasi terdesak yang mungkin mendorong seseorang membuat keputusan di luar jangkaan.

“Kalau ibu anda sakit tenat dan perlukan rawatan segera, tetapi tiada insurans, dan anda diberi peluang mendapatkan wang dengan cepat, adakah anda sanggup lakukan apa sahaja? Kalau itu ibu saya, saya pun akan fikir perkara sama,” ujarnya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan seorang penyanyi rap tempatan ditahan di Laos selepas didakwa cuba menyeludup 86 kilogram dadah bersama dua rakannya. Penyanyi yang juga anggota sebuah kumpulan rap itu disyaki cuba membawa dadah berkenaan ke Jerman. -UTUSAN





Source link