Malaysia Oversight

Namewee dibebas 13 hari sementara tunggu laporan bedah siasat

By MkiniBM in November 13, 2025 – Reading time 1 minute
Namewee dibebas 13 hari sementara tunggu laporan bedah siasat


Penyanyi rap kontroversi Wee Meng Chee, atau lebih dikenali sebagai Namewee, telah dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketua polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata pemuzik itu akan diikat jamin polis selama 13 hari.

“Untuk makluman setelah kertas siasatan dirujuk ke pejabat pendakwa raya hari ini 13 Nov 2025, Namewee akan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari ini hingga 26 Nov 2025 sementara menunggu laporan bedah siasat si mati diperolehi.

“Kertas siasatan akan dirujuk semula ke pejabat pendakwa raya Kuala Lumpur setelah laporan bedah siasat diperolehi,” kata Fadil.

Namewee merupakan individu penting dalam membantu siasatan kematian pempengaruh Taiwan Hsieh Yu-hsin, kerana dia dilaporkan orang terakhir yang dilihat bersamanya sebelum ditemui mati di dalam tab mandi bilik hotel Kuala Lumpur pada 22 Okt.

Peguam Negara Dusuki Mokhtar semalam memberitahu Malaysiakini bahawa setakat ini, tiada petunjuk dalam kertas siasatan polis yang boleh mengaitkan Namewee dengan kematian Hsieh.

Namewee menyerah diri kepada polis pada 5 November dan kemudiannya direman, dengan tempoh reman berakhir hari ini. Polis sebelum ini menyatakan bahawa mereka juga sedang menunggu keputusan analisis toksikologi Hsieh, 33, selain laporan bedah siasat.

Kes yang pada mulanya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, kini disiasat sebagai pembunuhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.



Source link