Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengulangi bahawa walaupun bukan Islam tidak dilarang daripada minum alkohol, perlu ada garis panduan dibuat terhadap tindakan mabuk di tempat awam ketika negara bergerak untuk mempromosikan nilai-nilai pelancongan Islam.
Memetik keperluan untuk memelihara imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik, Ahli Parlimen PAS memuji langkah kerajaan Terengganu yang mengeluarkan amaran tegas terhadap premis pelancongan yang menjual alkohol tanpa lesen.
Langkah sedemikian, katanya, adalah perlu untuk memastikan tarikan pelancong negara, terutamanya pulau-pulau, dikunjungi kerana keunikannya, bukan sebagai tempat percutian untuk mabuk.
“Sebenarnya kita tidak pernah melarang pun, tidak pernah guna agama kita untuk melarang yang bukan Islam minum arak. Yang kita nak supaya boleh ada lesen tapi di tempat-tempat yang khusus, dalam bilik ke, bukan di tempat awam.
“Orang mabuk ni buruk perangainya, menteri pun ada mabuk, joget-joget di tempat awam. Kita tak pernah larang, nak mabuk, mabuklah, kalau nak terjun laut, terjun atas kapal terbang pun terjunlah, tapi jangan di tempat awam,” tegas bekas hakim itu.
Meski tidak menyebut nama, Zulkifly yang berbahas mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 untuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di peringkat jawatankuasa, dipercayai menyindir menteri Tiong King Sing.
Sebelum ini, Tiong telah mendapat reaksi negatif yang meluas mengenai hidangan alkohol di Majlis Makan Malam Gala Global Travel Meet 2025, dengan pengkritik mengecam kejadian itu sebagai penghinaan terhadap reputasi Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Tiong kemudiannya menjelaskan bahawa acara pada 1 Okt itu dianjurkan oleh sektor swasta, bukan kerajaan.
Merujuk kepada kejadian itu, Zulkifly mempersoalkan sama ada peranan Pusat Pelancongan Islam (ITC) diambil serius, bukan sahaja oleh pemain industri, tetapi juga oleh kementerian itu sendiri.
Dia berhujah bahawa jika peranan ITC telah dilaksanakan dengan betul, acara Global Travel Meet yang “memalukan” itu tidak akan berlaku, kerana dengan nasihat yang betul, alkohol tidak akan pernah dihidangkan di majlis makan malam tersebut.
“Perlu ada satu mekanisme yang betul yang wajibkan program kementerian patuhi standard pelancongan islamik yang digariskan ITC,” desaknya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebeli ini menugaskan Tiong mengkaji pendekatan pelancongan yang lebih mesra Muslim bagi mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan halal global.
Ini berlaku selepas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan tahun lalu mencadangkan idea untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi percutian khusus untuk umat Islam.
Walau bagaimanapun, cadangan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak, mendorong Tiong untuk memohon maaf bagi pihak timbalannya sambil menekankan bahawa memandangkan Malaysia merupakan negara berbilang kaum, tiada tapak pelancongan yang harus memenuhi keperluan agama tertentu secara eksklusif.
*Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Zarrah Morden, Haspaizi Zain






