Bekas menteri, Zaid Ibrahim mencadangkan Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri buat kali ketiga sekiranya gabungan ‘Payung Melayu” memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Bagaimanapun bekas pemimpin Umno dan PKR itu berkata, Mahathir harus mengumumkan untuk memohon pengampunan kepada bekas perdana menteri, Najib Razak sekiranya mahu memenangi pilihan raya.
“Saya mencadangkan Tun M sebagai perdana menteri seterusnya sekiranya gabungan Payung Melayu memenangi sebahagian besar kerusi. Payung Melayu merangkumi PAS, Bersatu dan parti-parti kecil lain.
“Namun, untuk Tun menang, beliau perlu memberi pengampunan kepada Najib Razak dan menyatakan hasrat ini sekarang,” kata Zaid dalam satu hantaran dimuat naik di Facebook.

Zaid berkata sekiranya Mahathir boleh memberikan pengampunan kepada Anwar pada 2018, tiada sebab bekas pengerusi Bersatu itu tidak boleh berbuat demikian terhadap Najib.
Zaid juga mengaitkan perjanjian timbal balas (ART) antara Malaysia dengan Amerika Syarikat baru-baru ini, yang didakwa pembangkang sebagai berat sebelah dan menyebabkan kerugian kepada negara.
“Jika beliau (Mahathir) sanggup mengampunkan Anwar pada tahun 2018, mengapa tidak Najib? Najib mungkin telah menyebabkan kerugian sebanyak AS$680 juta, tetapi tahukah anda berapa besar kerugian negara di bawah PMX?” soal Zahid tanpa mengulas lebih lanjut.
Pada Jun lalu, Mahathir mengumumkan jawatankuasa sekretariat orang Melayu bagi menghimpunkan orang Melayu di bawah satu ‘payung besar‘.
Bekas perdana menteri dua kali itu berkata, jawatankuasa itu juga bertujuan membolehkan orang Melayu kembali menguasai kerajaan dan menjadi platform bagi menyelesaikan masalah masyarakat pribumi itu yang gagal ditangani oleh kerajaan.
Menurut Zaid, ini adalah peluang terakhir untuk orang Melayu mendapatkan semula kuasa mentadbir negara dan memerintah dalam semangat kemerdekaan.
“Apa gunanya menegaskan bahawa negara ini dikenali sebagai Tanah Melayu jika para pemimpin Melayu sendiri telah menyerahkan segala-galanya kepada kuasa dalam dan luar negara tanpa sebarang perjuangan?
“Walaupun beliau mempunyai kelemahan, Tun masih seorang patriot sejati; sumbangan beliau kepada negara tiada tandingan hingga kini. Beliau mampu membangunkan semula negara kita.

Rayu Hadi, Muhyiddin beri laluan kepada Dr M
Dalam kenyataannya, Zaid juga merayu kepada presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Muhyididin Yassin untuk memberi laluan kepada Mahathir sekali lagi menjadi perdana menteri.
“Saya merayu kepada Tuan Guru (Abdul Hadi) dan Muhyiddin (Yassin) agar memberikan Tun satu lagi peluang, supaya kita semua masih mempunyai masa depan,” katanya.
Tempoh kali pertama Mahathir menjadi perdana menteri bermula dari 1981 hingga 2003, menjadikannya pemimpin paling lama mentadbir negara selama 22 tahun.
Selepas bersara, dia kembali semula ke pentas politik dan membuat kejutan apabila mengetuai Pakatan Harapan dalam usaha menumbangkan BN yag diterajui Najib Razak yang ketika terpalit dengan skandal 1MDB.
Kerajaan yang diketuainya juga menyokong pengampunan kepada Anwar yang disabitkan atas kesalahan salah saku seks.
Pada 16 Mei 2018, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan memberi pengampunan penuh kepada Anwar, membolehkan dia dibebaskan serta-merta dan kembali aktif dalam politik.
Selepas BN tumbang, Najib dibicarakan berkaitan kes SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Namun hukuman itu kemudiannya dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan kepada enam tahun, dan denda RM50 juta ketika pentadbiran Anwar.






