Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian sebagai badan pemantau tertinggi bagi menangani isu berkaitan keselamatan dalam talian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Seksyen 5 Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) memperuntukkan suatu jawatankuasa hendaklah ditubuhkan untuk menasihati dan memberikan syor kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai agensi kawal selia berhubung dengan keselamatan dalam talian.
Beliau berkata mesyuarat protem pertama yang dipengerusikannya akan bersidang dalam tempoh terdekat bagi menetapkan keutamaan strategik, menyelaras hala tuju pelaksanaan dan memastikan jawatankuasa itu berfungsi sebagai platform penyelarasan dasar keselamatan dalam talian yang berkesan.
“Berdasarkan Seksyen 10 akta ini, jawatankuasa itu berfungsi menasihati dan memberikan syor yang merangkumi penentuan jenis kandungan mudarat dan penentuan kandungan mudarat prioriti.
“Selain itu, menentukan kaedah menganalisis dan langkah mengurangkan risiko pengguna didedahkan kepada kandungan memudaratkan, pendekatan kajian berkaitan dengan kandungan memudaratkan dan amalan terbaik untuk menggalakkan kebertanggungjawaban pemberi perkhidmatan aplikasi,” katanya.
Azalina berkata demikian pada Sesi Penerangan Menteri berhubung jawatankuasa itu dalam Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu amat penting memandangkan terdapat 33.1 juta pengguna media sosial aktif atau 96 peratus daripada jumlah penduduk dalam negara ini termasuk kira-kira 10.6 juta pengguna berusia bawah 18 tahun.
Menurutnya, jawatankuasa itu menjadi saluran kerjasama dan rundingan berterusan antara kerajaan serta penyedia platform media sosial seperti Meta, Google, TikTok dan X agar langkah keselamatan, moderasi kandungan dan perlindungan kanak-kanak dapat dilaksanakan secara efektif.
Jelas Azalina, walaupun Akta 866 secara keseluruhannya di bawah tanggungjawab Menteri Komunikasi, namun terdapat peruntukan supaya suatu jawatankuasa berasingan dan neutral dipertanggungjawabkan untuk menasihati perkara berkaitan keselamatan dalam talian.
Terdahulu, beliau memaklumkan akta berkenaan telah diwartakan pada 22 Mei dan dijangka berkuat kuasa 1 Jan depan, namun masih belum dikuatkuasakan kerana MCMC masih dalam proses memuktamadkan penggubalan 10 perundangan subsidiari menurut Seksyen 81 akta sama.
Sementara itu, mengulas penubuhan Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Jenayah (CLRC) Azalina berkata jawatankuasa itu dikhususkan untuk meneliti dan mengesyorkan pembaharuan menyeluruh terhadap teks perundangan jenayah utama di Malaysia iaitu Akta Keterangan 1950, Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah.
“CLRC juga meneliti cadangan memperkenalkan peruntukan baharu di bawah Kanun Keseksaan bagi menjenayahkan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk penciptaan imej intim sintetik, penyamaran digital serta automated grooming.
“Cadangan ini akan memperincikan tanggungjawab dan liabiliti bukan sahaja terhadap individu yang mencipta atau menyebarkan kandungan, tetapi juga mereka yang membantu atau menggalakkannya,” katanya.
Beliau berkata CLRC akan menjalankan mandat meliputi keseimbangan kebebasan bersuara dan perlindungan, isu rentas sempadan dan kebimbangan keselamatan.
– Bernama






