Kerajaan Johor mengumumkan pemberian insentif khas sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri sebagai tanda penghargaan atas usaha dan dedikasi yang dicurahkan golongan berkenaan.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata insentif khas sebanyak RM500 seorang pula akan diberikan kepada 140,185 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri itu dengan peruntukan RM70.1 juta.
“Ini adalah pertama kali dalam sejarah kerajaan negeri mengumumkan insentif khas kepada penjawat awam Persekutuan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026 di Kota Iskandar di Iskandar Puteri hari ini.
Beliau berkata insentif tersebut secara keseluruhan akan disalurkan pada Disember depan.
Onn Hafiz berkata pengamal media yang berdaftar dengan Kelab Media Johor (KMJ) pula akan menerima RM1,000 seorang menerusi inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) dengan peruntukan RM200,000.
“Ia akan disalurkan melalui dua fasa pembayaran iaitu pada Disember depan dan Februari 2026,” katanya.
Sementara itu, Presiden KMJ Mohamad Fauzi Ishak dalam kenyataan berkata insentif khas itu menjadikan Johor sebagai negeri pertama yang mengumumkan peruntukan kepada pengamal media dalam pembentangan belanjawan negeri.
Beliau berkata ia sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap peranan media dalam menyampaikan maklumat yang tepat mengenai isu semasa serta pembangunan, selain memperkukuh hubungan komunikasi antara rakyat dan pentadbiran kerajaan negeri.
“KMJ amat menghargai pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan negeri terhadap pengamal media yang sentiasa komited melaksanakan tanggungjawab menyebar maklumat sahih dan beretika,” katanya.
Beliau yang juga Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) berkata insentif itu bukan sahaja menyuntik semangat kepada rakan media untuk terus menyalurkan berita berkaitan negeri malah mencerminkan hubungan erat antara kerajaan negeri dan komuniti media di Johor.
Sementara itu, kerajaan Terengganu pula mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM500 kepada penjawat awam negeri itu.
Pemberian bonus kepada lebih 14,000 penjawat awam negeri diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam sesi penggulungan perbahasan Enakmen Perbekalan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
“Kerajaan negeri bersetuju memberikan bonus sebanyak RM500 kepada penjawat awam negeri Terengganu,” katanya tanpa memperincikan bagaimana dan bila pemberian itu akan dilaksanakan.
Hari ini, DUN Terengganu sebulat suara meluluskan Belanjawan 2026 yang dibentangkan Ahmad Samsuri pada Isnin lepas.
Bertemakan “Memacu Potensi Melonjak Prestasi”, Belanjawan 2026 memperuntukkan sejumlah RM1.938 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus termasuk RM450 juta bagi Perbelanjaan Pembangunan dengan hasil dianggarkan berjumlah RM1.998 bilion.
– Bernama






