Valve Memberi Sebab Mengapa Steam Deck 2 Masih Belum Dilancarkan
Nazrin
Valve hari ini telah melancarkan tiga buah produk baru untuk kumpulan gamers, termasuklah konsol PC Steam Machine, kaca mata VR Steam Frame dan alat kawalan permainan Steam Controller baharu. Satu peranti yang menjadi tanda tanya ramai ialah dimanakah konsol Steam Deck 2 yang ditunggu-tunggu?

IGN telah menemu-bual pihak Valve tentang perkara ini, dan menurut Pierre-Loup Griffais, seorang pembangun perisian di syarikat tersebut, Valve dikatakan sedang menunggu masa yang sesuai untuk membangunkan dan melancarkan produk tersebut.
Steam Deck 2 akan dilancarkan di masa hadapan, tetapi kekangan utama yang diperlihatkan buat masa ini ialah tiada cip SoC (System on a Chip) yang bersesuaian dengan keperluan Valve masa ini untuk mereka melancarkan konsol sedemikian.
Menurut jurucakap yang sama, Valve tidak mahu peningkatan IPC 20-50 peratus semata-mata untuk konsol Steam Deck 2, tetapi sebaliknya sedang menunggu untuk peningkatan prestasi yang mendadak, mungkin dengan impak sama seperti apa yang diperlihatkan oleh AMD apabila mereka melancarkan cip pemprosesan AMD Ryzen Z1/Z1 Extreme pada awal tahun lepas.

Steam Machine dikatakan adalah enam kali lebih berkuasa berbanding dengan penawaran Steam Deck sedia ada, yang dikuasakan dengan cip pmeprosesan khas AMD “Aerith” yang direka khusus untuk konsol tersebut. Steam Machine dilaporkan hadir dengan variasi cip pemprosesan AMD Strix Point, iaitu gabungan cip pemprosesan AMD ZEN 4 dan cip grafik RDNA 3.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






