Malaysia Oversight

Sindiket pemutihan: SPRM tahan 11 pegawai imigresen

By MkiniBM in November 12, 2025 – Reading time 2 minute
Sindiket pemutihan: SPRM tahan 11 pegawai imigresen


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan 11 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berhubung sindiket Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) atau juga dikenali sebagai ‘sindiket pemutihan’.

Sumber SPRM mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

“Kesemua pegawai ditahan dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan penglibatan wang haram berkaitan program RTK dari Bahagian Pekerja Asing,” kata sumber itu.

Malaysiakini telah menghubungi Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk mendapat ulasan lanjut.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa dua pegawai imigresen di Lembah Klang memainkan peranan utama dalam sindiket itu.

RTK adalah program pemutihan khas Jabatan Imigresen bagi memberi peluang kepada majikan untuk mengambil warga asing yang tinggal lebih masa serta tiada permit bekerja secara sah.

RTK1.0 mula dilaksanakan pada 28 Disember 2020 lalu sebagai program khas meregulasikan pendatang asing tanpa izin (Pati). RTK2.0 pula diperkenalkan pada 27 Januari 2023 sehingga 31 Disember 2023.


Baca laporan berkaitan: Dalang sindiket pemutihan kini jutawan, tauke nasi kandar


Menurut laporan media, dalam tempoh tujuh bulan pertama pelaksanaan RTK2.0 sahaja, seramai 720,099 Pati mendaftar, membabitkan 51,753 majikan.

Bayaran rekalibrasi untuk RTK 2.0 adalah RM1,500 untuk setiap pekerja, manakala kos levi pula antara RM640 ke RM1,850 mengikut sektor, bersama dengan bayaran RM60 dan proses RM125.

Namun, siasatan Malaysiakini mendapati ada dakwaan pihak tertentu mengaut beratus juta melalui program ini.

Beberapa ejen tempatan dan warga asing mendakwa mereka membayar tambahan RM3,000 kepada pegawai imigresen untuk setiap permohonan.

Jumlah itu, dakwa mereka, adalah pakej lengkap sehingga mendapat kelulusan.

Beberapa ejen tempatan dan warga asing mendedahkan bahawa mereka membayar pegawai imigresen untuk mendapatkan kelulusan cepat, termasuk proses cap jari, nombor giliran, dan pelekat sementara.

Laporan Malaysiakini juga mendedahkan seorang pegawai JIM mengaut jutaan ringgit daripada sindiket ini dan melaburkannya di restoran nasi kandar di Lembah Klang.

Sementara itu, seorang lagi pegawai dari bahagian pekerja asing masih dianggap ‘pemain utama’ dalam sindiket RTK.



Source link