Malaysia Oversight

Pearly-Thinaah, Ling Ching ke pusingan kedua Jepun Masters

By Utusan in November 12, 2025 – Reading time 2 minute
Pearly-Thinaah, Ling Ching ke pusingan kedua Jepun Masters


PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah mara ke pusingan kedua selepas menundukkan beregu muda Jepun, Mikoto Aiso-Momoha Niimi pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Jepun Masters di Kumamoto, Jepun, hari ini.

Memegang status sebagai pilihan pertama, Pearly-Thinaah bagaimanapun terpaksa berhempas pulas sebelum menang ke atas pasangan ke-134 dunia itu 18-21, 21-9, 21-17 dalam masa 52 minit.

Esok, beregu No. 2 dunia itu bakal berdepan pencabar yang jauh lebih kuat iaitu gandingan ke-20 dunia, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo dari Korea Selatan.

Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, pasangan gabungan dua negara iaitu Korea Selatan dan Malaysia, Choi Sol Gyu-Goh V Shem tewas kepada beregu tuan rumah, Haruki Kawabe-Kenta Matsukawa 18-21, 19-21 dalam masa 40 minit.

Bagi aksi perseorangan lelaki pula, Leong Jun Hao turut ditimpa nasib serupa dengan rakan senegara, Justin Hoh apabila dia terkandas di pusingan awal.

Pemain No. 22 dunia itu diheret sehingga ke set ketiga sebelum tumpas kepada pemain veteran India, H. S. Prannoy 21-16, 13-21, 21-23 dalam masa 1 jam 8 minit.

Kekalahan itu menyaksikan tiada seorangpun pemain perseorangan lelaki di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berjaya melepasi peringkat 32 terbaik.

Bagaimanapun, nasib berbeza mengiringi wakil perseorangan wanita apabila Wong Ling Ching meneruskan kemaraannya ke pusingan kedua selepas mengalahkan pemain tuan rumah, Nanaho Kondo 21-16, 21-11 dalam masa 41 minit.

Ling Ching yang menghuni ranking ke-63 dunia itu bakal berdepan pemain No. 15 dunia dari Kanada, Michelle Li, esok. – UTUSAN





Source link