Malaysia Oversight

Pasangan suami isteri bertanding PRN Sabah wakili GRS

By TheSun in November 12, 2025 – Reading time 2 minute
Pasangan suami isteri bertanding PRN Sabah wakili GRS


Tan Sri Pandikar Amin dan isteri Puan Sri Diana Diego bakal bertanding atas tiket GRS di DUN Pintasan dan Sekong pada PRN Sabah ke-17

KOTA KINABALU: Landskap politik Sabah mencipta sejarah apabila kali pertama menyaksikan pasangan suami isteri dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan isterinya Puan Sri Diana Diego @ Yusrina Sufiona akan bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan Pandikar Amin sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan manakala isterinya di DUN Sekong.

DUN Pintasan terletak dalam Parlimen Kota Belud manakala Sekong dalam Parlimen Batu Sapi.

Pandikar Amin berkata beliau yakin mampu memenangi kerusi itu kerana kini bertanding mewakili parti yang memerintah Sabah.

“Saya tidak pernah meninggalkan pentas politik, sentiasa aktif dan terlibat. Saya yakin boleh menang,” katanya.

Beliau berkata pada PRN sebelum ini, beliau bertanding sebagai calon bebas dan memperoleh 2,660 undi, hanya kalah 84 undi.

“Kini, saya yakin dapat menyumbang kemenangan untuk GRS,” tambahnya.

Pandikar Amin berkata kesemua calon GRS mempunyai potensi besar untuk menang memandangkan mereka telah lama berkhidmat dengan penduduk.

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman yang dinamakan calon GRS di DUN Bongawan berterima kasih kepada semua pihak.

“Kita akan terus berjuang untuk Sabah,” kata bekas Menteri Luar itu.

Hajiji mengumumkan GRS akan bertanding di 55 daripada 73 kerusi DUN pada PRN Sabah ke-17.

GRS terdiri daripada Gagasan Rakyat, PCS, USNO, PBS, Harapan Rakyat dan LDP.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu ini.

Tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November. – Bernama


Post Views: 1



Source link