PETALING JAYA: Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (Pro-Net), syarikat milik penuh Proton Holdings Bhd. (Proton) mempamerkan teknologi terbaharu kenderaan elektrik (EV) dan Proton e.MAS 5 baharu di Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2025.
Acara yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre dari 12 hingga 14 November 2025 itu bertujuan mengumpulkan pemimpin industri, inovator dan pembuat dasar bagi merangka masa depan mobiliti elektrik, sistem autonomi serta pengangkutan lestari.
Sebagai satu daripada jenama EV nasional di Malaysia, penyertaan Pro-Net di GATE 2025 menegaskan komitmennya untuk memajukan ekosistem EV negara serta memperkukuh inovasi tempatan melalui kerjasama bertaraf global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan mengunjungi ruang pameran Proton e.MAS pada 13 November dan akan diberi taklimat mengenai kemajuan jenama tersebut dalam teknologi kenderaan elektrik.
Beliau akan diiringi oleh Encik Azrul Reza Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).
Pada pameran tahun ini, Proton dan Pro-Net menampilkan beberapa sorotan utama yang melambangkan bab seterusnya dalam perjalanan elektrifikasi jenama tersebut termasuk Sistem Pemacu Elektrik 12-dalam-1, Teknologi Cell-to-Body, Bateri Short Blade dan Proton e.MAS 5.
Proton berkata, selain daripada pameran, pengunjung GATE 2025 berpeluang untuk alami sendiri EV terbaharu Proton e.MAS, dengan sesi pandu uji tersedia untuk Proton e.MAS 7 dan Proton e.MAS 5 sepanjang acara berlangsung.
Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, acara seperti GATE 2025 penting kerana ia membuka peluang untuk kerjasama dan inovasi di seluruh rantau.
“Ini juga peluang terbaik untuk berkongsi idea, meneroka teknologi baharu dan memperkukuh hubungan dengan rakan industri.
“Dengan jenama e.MAS, kami berbangga menunjukkan bagaimana kepakaran Malaysia digabungkan dengan pengalaman global untuk mencipta mobiliti yang canggih dan lestari untuk masa depan,” katanya dalam kenyataan.
Proton berkata, GATE 2025 dibuka kepada orang ramai pada hari terakhirnya iaitu 14 November, dengan kemasukan percuma dan pengunjung digalakkan meneroka teknologi EV terkini serta mengalami e.MAS 7 dan e.MAS 5 melalui sesi pandu uji eksklusif.
Tambahnya, selain daripada GATE 2025, Proton dan Pro-Net juga akan menyertai MITI ASEAN Day 2025, sebuah inisiatif tahunan yang mempamerkan peranan dan fungsi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kepada orang ramai.
Sebagai sebahagian daripada Mini Malaysia Autoshow, Proton akan mempamerkan e.MAS 5, selari dengan usaha MARii memperkukuh ekosistem automotif negara mengikut Dasar Automotif Negara 2020 (NAP 2020).
Sambutan ini akan berlangsung dari 14 hingga 15 November 2025 di Menara MITI, Jalan
Sultan Haji Ahmad Shah, Kompleks Kerajaan, Kuala Lumpur. – UTUSAN






