Malaysia Oversight

Penduduk Kg Papan dakwa dikasari ketika operasi perobohan

By MkiniBM in November 12, 2025 – Reading time 3 minute
Penduduk Kg Papan dakwa dikasari ketika operasi perobohan


Suasana di Kampung Papan, Pandamaran, Klang hari ini bertukar kecoh apabila beberapa penduduk mendakwa dikasari anggota pasukan Light Strike Force (LSF) ketika cuba mempertahankan sebuah rumah daripada dirobohkan oleh pihak pemaju.

Kejadian berlaku sekitar 9 pagi apabila sekumpulan penduduk, termasuk wanita dan warga emas, cuba menghalang lebih 15 anggota LSF daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang bersama sekumpulan pekerja daripada memasuki kawasan kediaman salah seorang penduduk.

Anggota pasukan keselamatan itu hadir untuk mengawasi operasi perobohan pada hari ketiga yang dijalankan oleh Syarikat Melati Ehsan Berhad.

Penduduk mendakwa keadaan mula tegang apabila beberapa orang daripada mereka ditarik, ditolak, malah disepak anggota LSF ketika cuba mempertahankan rumah.

Keadaan juga menjadi kecoh dengan jeritan dan tangisan penduduk.

Menurut Ren Yi Low, 55, salah seorang penduduk yang mendakwa dikasari, dia ditarik dengan kasar oleh beberapa anggota LSF sehingga bajunya tertarik dan lebam di bahagian lengan.

f71fe8576e8e9f09d40c540e8a212eac

Malah, dia juga mendakwa ditolak sehingga jatuh ke tanah yang lecak.

“Mereka tarik-tarik saya keluar, semuanya lelaki. Sebab badan saya kecil, senang mereka tolak saya jatuh ke tanah,” katanya sambil menunjukkan kesan lebam di lengannya dan baju yang kotor akibat terjatuh ke tanah.

Ren turut mempersoalkan tindakan pihak pemaju yang menghantar lebih 100 anggota LSF untuk berdepan dengan penduduk kampung yang kebanyakannya sudah berusia.

Pemilik rumah yang dirobohkan, Kumaraguruparan, 35, berkata dia dan keluarganya dihalau begitu sahaja dan tidak diberi masa mencukupi untuk mengeluarkan barangan sebelum rumah dirobohkan.

09304a1edb0cc14c5c941cb5c5b1e55a

“Mereka pecahkan tembok sebab tidak boleh masuk ikut depan, kemudian mereka bawa keluar semua barang. Sekarang saya kena cari tempat tinggal baru dengan duit sendiri sebab tiada pampasan diberikan,” katanya.

Kumaraguruparan yang sudah tinggal lebih 35 tahun di kampung itu menegaskan kawasan itu bukan setinggan.

Malah, dia mendakwa pada 1995, mereka pernah diberikan Temporary Occupation License (TOL) oleh bekas Menteri Besar , Muhammad Muhammad Taib. Selain itu, pada 1987, ketika itu pernah datang untuk projek penyediaan jalan di kampung tersebut.

“Kami juga bayar bil air dan elektrik. Kalau kami setinggan, kenapa dapat kemudahan macam ini?” katanya sambil menunjukkan beberapa dokumen lama yang masih disimpannya kepada pihak media.

bcdb5afef08796635addf8686c093ea3

Wakil penduduk, Logesvaran M, 50, pula berkata penduduk kecewa dengan cara negeri dan pemaju menguruskan isu perumahan yang berlarutan lebih lima dekad.

“Kami bukan menolak pembangunan. Kami cuma minta pampasan dan rumah mampu milik. Tapi sampai sekarang, satu surat rasmi pun tak ada. Kalau ada jaminan rumah ganti, kami sendiri akan pindah, tak perlu guna kekerasan,” ujarnya.

Logesvaran turut mengkritik tindakan pemaju yang memotong bekalan air dan elektrik sebelum operasi dijalankan, serta mendakwa beberapa penduduk wanita jatuh dan cedera ketika insiden kekecohan berlaku.

“Arahan asal jelas, hanya rumah kosong boleh dirobohkan. Tapi yang masih berpenghuni pun dipecahkan. Ada wanita sampai jatuh dalam lecak, bajunya ditarik. Ini sangat memalukan,” katanya.

0fe5f68c763d68128282c4889e603331

Setakat tengah hari ini, operasi perobohan di Kg Jalan Papan masih diteruskan di bawah kawalan ketat polis. Penduduk mendesak Menteri Besar , Amirudin Shari, turun padang segera bagi mencari penyelesaian adil untuk lebih 181 keluarga yang masih menetap di kawasan itu.

Sebelum ini, negeri dan pihak pemaju bersetuju bahawa kerja-kerja perobohan Kg Papan dihadkan kepada rumah dan premis perniagaan yang kosong sahaja.

Namun, sehingga hari ini, sudah lebih 10 rumah berpenghuni dirobohkan oleh pihak pemaju tanpa sebarang pampasan atau tempat penempatan sementara disediakan kepada penduduk.



Source link