Malaysia Oversight

 Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kuala Nerus siap Januari 2027

By Utusan in November 12, 2025 – Reading time 2 minute
 Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kuala Nerus siap Januari 2027


KUALA TERENGGANU: Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kuala Nerus, dekat sini yang memberi tumpuan kepada isu hakisan di Pantai Batu Rakit kini mencapai kemajuan  49.46 peratus dan dijangka siap pada 14 Januari 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, projek dilaksanakan Persekutuan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu melibatkan pembinaan sebanyak 16 unit pemecah ombak serta kerja-kerja penyuburan pantai sepanjang dua kilometer.

Katanya, projek itu berjalan mengikut jadual dengan direka bentuk berdasarkan kajian teknikal terperinci yang mengambil kira corak ombak, arus pesisir serta taburan pemendapan pasir di kawasan berkenaan.

“Perlu difahami bahawa penyelesaian menyeluruh terhadap isu hakisan di sepanjang Pantai Batu Rakit memerlukan pendekatan bersepadu yang melibatkan pemuliharaan cell to cell di sepanjang zon pesisir hingga ke muara sungai. 

“Pendekatan ini penting kerana proses hakisan dan pemendapan pasir berlaku secara dinamik antara satu sel pantai dengan yang lain dan tidak terbatas kepada kawasan pembinaan struktur semata-mata,” katanya semasa sesi penggulungan  Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Kuala Berang,  Dr. Mamad Puteh () berhubung masalah hakisan Pantai Batu Rakit.

Menurut Hanafiah, menerusi projek pembinaan pemecah ombak itu, kawasan pesisir utama dilindungi daripada tenaga ombak tinggi seterusnya menggalakkan proses pemendapan semula pasir di bahagian pantai terlindung yang dijangka mengambil masa antara satu hingga dua tahun untuk mencapai kestabilan garis pantai.

“Secara keseluruhannya, projek ini memberi kesan positif yang signifikan dalam mengawal dan mengurangkan kadar hakisan pantai di Batu Rakit dan kawasan sekitarnya, sekali gus melindungi penduduk, kemudahan awam serta aset daripada ancaman hakisan berterusan setelah projek siap sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN

 





Source link