Kerajaan tidak akan menekan atau mengambil tindakan terhadap organisasi media walaupun tidak bersetuju dengan laporan diterbitkan, selaras dengan komitmen menghormati kebebasan media di negara ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pendekatan kerajaan kini berbeza dengan amalan sebelum ini kerana Kerajaan MADANI memilih untuk menyatakan pendirian secara terbuka tanpa menyekat kebebasan media.
“Kalau kerajaan ambil tindakan panggil MalaysiaKini untuk rekod kenyataan, saya percaya sebelah sana juga akan berdiri dan tuduh kerajaan kerana tak hormat kebebasan media.
“Jadi walaupun ada artikel, kandungan yang kita tidak setuju, kita kurang setuju, kita menyatakan pendirian kita dan tak semestinya kita tiap-tiap kali perlu panggil mereka untuk rekod kenyataan. Saya rasa itulah perbezaan paling besar antara Kerajaan MADANI dengan pihak di sebelah sana,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang membangkitkan isu laporan portal berita MalaysiaKini mengenai dakwaan kewujudan 263 akaun palsu dikaitkan dengan usaha menaikkan sokongan terhadap Perdana Menteri di Internet.
[Berita penuh menyusul]






