Malaysia Oversight

Apa Saifuddin buat selama 3 tahun lalu, tanya isteri Amri

By MkiniBM in November 12, 2025 – Reading time 2 minute
Apa Saifuddin buat selama 3 tahun lalu, tanya isteri Amri


Isteri kepada seorang aktivis yang gagal ditemukan sehingga kini, Norhayati Md Arifin mempersoalkan apa yang dilakukan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sepanjang tiga tahun lalu.

Dia berkata demikian selepas Saifuddin pada Isnin menyatakan sedang menunggu taklimat terperinci daripada polis berhubung kehilangan Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh, sambil mengarahkan siasatan dibuka semula.

Norhayati mengingatkan pasukan petugas khas berhubung kes itu sudah menyerahkan laporan mereka kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2020 – dan laporan itu sepatutnya sudah berada di tangan Saifuddin ketika dia dilantik pada Dis 2022.

“Adakah menteri dalam negeri belum membaca laporan itu?” soalnya dalam kenyataan malam tadi.

Laporan pada 2020 itu – yang sebahagiannya didedahkan melalui keterangan mahkamah pada 2024 – menyimpulkan bahawa pegawai polis yang bertindak di luar kawalan mungkin terlibat dalam penculikan Koh dan Amri.

Selain mempunyai akses kepada laporan berkenaan, Norhayati juga mengingatkan bahawa pada Jun 2023, Saifuddin pernah berkata, dia membawa laporan berkenaan untuk dibincangkan dengan pihak atasan bagi menentukan sama ada ia akan didedahkan kepada umum atau tidak.

Kemudian pada Nov 2024, katanya, Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa siasatan kehilangan Koh dan Amri masih dijalankan secara telus.

“Saya lihat semua kenyataan ini dengan sedih dan kecewa. Saya sedih kerana selepas sembilan tahun, keluarga saya masih tidak tahu di mana atau apa yang terjadi kepada Amri.

“Saya kecewa kerana terus gagal memberikan sebarang bentuk keadilan.

“Saya juga keliru kerana KDN sendiri mengambil langkah yang menafikan ketelusan siasatan, termasuk menyekat laporan pasukan petugas khas daripada didedahkan kepada umum.

“Saya minta menteri dalam negeri jangan memberi alasan kononnya dia baru sedar tentang isu ini sekarang,” katanya.

Norhayati menasihatkan Saifuddin supaya berhenti mengeluarkan kenyataan sehingga dia benar-benar menyelesaikan masalah serius yang menjejaskan integriti dan reputasi pasukan polis, serta bertindak secara telus.

Rabu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Su Tiang Joo memutuskan bahawa polis dan bertanggungjawab atas kehilangan Koh dan Amri.

Mahkamah mengarahkan membayar pampasan RM3 juta kepada Norhayati – terdiri daripada RM2 juta sebagai ganti rugi am dan RM1 juta ganti rugi teladan – selain RM14,457.52 sebagai ganti rugi khas serta RM250,000 kos guaman.

Hakim turut mengarahkan kerajaan membayar RM10,000 sehari ke dalam akaun amanah bagi pihak Koh sehingga dia ditemui – dikira bermula 13 Feb 2017, tarikh dia diculik – yang kini berjumlah kira-kira RM31.9 juta.

Mahkamah juga menganugerahkan RM4 juta ganti rugi kepada Koh, tambahan RM1 juta ganti rugi teruk atas kelewatan berpanjangan dalam usaha mencarinya, serta RM1 juta lagi atas tindakan tidak berperlembagaan oleh pihak defendan.

Dalam kedua-dua kes, mahkamah turut memerintahkan polis membuka semula siasatan dan menyerahkan laporan kemajuan kepada peguam negara setiap dua bulan.



Source link