Ahli politik Sabah dari pelbagai parti menyambut baik keputusan Putrajaya untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak negeri itu mendapat 40 peratus hasil mereka.
Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Yong Teck Lee menyifatkan langkah Putrajaya sebagai kemenangan besar buat rakyat Sabah, dan tanda kekuatan suara rakyat menjelang pilihan raya negeri (PRN).
“Tidak dapat dinafikan kerajaan persekutuan pimpinan PKR terpaksa tunduk kepada kuasa rakyat Sabah untuk menerima keputusan mahkamah tinggi berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri.
“Sabah sudah menang sebelum hari penamaan calon, tapi perjuangan mesti diteruskan sampai semua bayaran, termasuk 48 tahun yang hilang, dipulangkan,” katanya kepada Malaysiakini.
Pengerusi PKR Sabah Mustapha Sakmud pula menyifatkan keputusan tersebut sebagai “pencapaian bersejarah” dalam usaha memulihkan keadilan fiskal di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Keputusan ini menandakan terpenuhnya keadilan fiskal yang lama dinanti-nantikan untuk Sabah, juga membuktikan keikhlasan kerajaan Madani dalam menegakkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ia mengakhiri satu bab ketidaktentuan dan membuka era baru hubungan matang, hormat dan berprinsip antara persekutuan dan Sabah,” katanya.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan bahawa Putrajaya tidak akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengesahkan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip dari negeri itu.
Komited pada pembangunan
Dalam kenyataan dikeluarkannya, AGC berkata kerajaan persekutuan menghormati prinsip perlembagaan berkaitan “Geran Khas” di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dan bersetuju untuk segera memulakan rundingan dengan kerajaan Sabah.
“Oleh itu, kerajaan persekutuan memutuskan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap hak 40 peratus hasil itu.
“Kerajaan persekutuan akan segera memulakan rundingan dengan kerajaan negeri Sabah,” kata AGC.
Pengerusi DAP Sabah Phoong Jin Zhe berkata partinya sentiasa menyokong usaha Persatuan Peguam Sabah (SLS) dengan hadir ke prosiding dan menunjukkan solidariti.
“DAP Sabah menyambut baik keputusan mahkamah tinggi dan secara terbuka menggesa kerajaan persekutuan supaya tidak merayu, selaras dengan semangat sebenar MA63.
“Selepas ini, kami akan terus memperjuangkan pelaksanaan penuh dan telus hak 40 peratus hasil itu,” katanya.
Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin pula menegaskan rundingan akan datang mesti telus, dan berdasarkan data kewangan yang disahkan, serta bebas daripada permainan politik.
“Sabah tak akan lagi terima rundingan yang tidak membawa hasil. Hak perlembagaan bukan alat tawar-menawar; ia mesti dihormati seperti yang termaktub.
“Ini bukan gimik politik, tapi tuntutan keadilan perlembagaan,” katanya.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Kurup berkata keputusan itu menunjukkan kerajaan persekutuan bukan saja menghormati hak Sabah, malah komited membantu pembangunan negeri.

“Saya menggesa rakyat Sabah terus percaya kepada perdana menteri dan kerajaan perpaduan ini yang berulang kali menunjukkan usaha ikhlas membangunkan serta melindungi Sabah,” katanya.
Pengerusi Bersatu Sabah Ronald Kiandee pula berkata Putrajaya telah membuat keputusan yang betul dengan tidak merayu.
“Peruntukan 40 peratus itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan; itulah semangat negara ini, dan semangat itu kini disahkan semula oleh mahkamah tinggi.
“Kita dah bercakap tentang hal ini bertahun-tahun, jadi bila tiada rayuan difailkan, kami sambut baik keputusan itu,” katanya.
Jawapan tetap sama
Namun, Presiden Upko Ewon Benedick mengambil pendekatan berhati-hati, dengan menegaskan keputusan AGC untuk merayu terhadap satu bahagian penghakiman menimbulkan persoalan.
“Apa maksud ayat terakhir itu?” soalnya ketika dihubungi Malaysiakini.
Dia merujuk kepada keputusan AGC untuk merayu terhadap sebahagian keputusan hakim yang menyatakan Putrajaya dan kerajaan Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar tanggungjawab perlembagaan berhubung tuntutan hasil tersebut.
Bagi Ewon, kenyataan itu menunjukkan masih wujud kekeliruan dan kekurangan komitmen dalam kerajaan sendiri.
“Kalau kamu baca penghakiman bertulis dan perhatikan pendirian rasmi AGC sepanjang prosiding, itulah sebab saya meletakkan jawatan,” katanya.
Ewon berkata dia telah membangkitkan isu 40 peratus itu berulang kali dalam mesyuarat kabinet selama tiga tahun, namun jawapan yang diterima tetap sama.
“Saya konsisten dalam kabinet mengenai tuntutan 40 peratus itu selama tiga tahun.
“Jawapan yang diberikan kepada saya ialah jawapan yang sama seperti yang disebut di Gaya Street,” katanya, merujuk kenyataan Anwar baru-baru ini yang menyamakan geran khas Sabah dengan peruntukan persekutuan.
Apabila ditanya sama ada peletakan jawatannya mempengaruhi keputusan Putrajaya untuk tidak merayu, Ewon menjawab ringkas, “Soalan itu biar kamu sendiri jawab.”
Setiausaha Agung Upko Nelson Wences Angang pula mengingatkan bahawa kenyataan AGC mungkin masih membuka ruang untuk “rayuan separa” yang boleh menjejaskan keseluruhan keputusan mahkamah.
“Jika mahkamah rayuan bersetuju dengan peguam negara persekutuan bahawa sebahagian dapatan hakim adalah salah, ia boleh menjejaskan keseluruhan penghakiman kerana semua asasnya saling berkait.
“Keadaan itu boleh menyebabkan keputusan mahkamah tinggi dan pengesahan hak perlembagaan Sabah diketepikan sepenuhnya,” katanya.






