Ahli perniagaan dan pembocor maklumat, Albert Tei, memuat naik satu lagi video berkaitan dakwaan skandal rasuah di Sabah. Kali ini ia dikatakan melibatkan menteri bBelia dan sukan sementara Sabah, Ellron Angin.
Video berdurasi 2.26 minit itu dimuat naik di laman Facebook “Pejuang Tun Dr Mahathir” semalam yang menunjukkan Ellron berbual dengan Tei mengenai penerimaan dana berjumlah RM530,000.
“Saya sudah bagi Datuk (Ellron) duit itu. Saya bagi RM500,000, kemudian RM30,000 untuk beli apa? Beli kedai. Datuk ingat?” kata Tei.
Ellron yang juga Adun Sook selama empat penggal itu mengangguk sambil menjawab bahawa ada pinjaman yang perlu dibayar.
Tei turut mendakwa syarikatnya sudah memindahkan RM30,000 itu kepada seorang ejen. Dia kemudian bertanya sama ada Ellron ingat atau tidak ada menerima kira-kira satu per lima daripada jumlah RM500,000 tersebut untuk membeli kereta.
“Ingat tak, Datuk?” tanya Tei.
“Ingat,” jawab Ellron.
Apabila Tei bertanya sama ada jumlahnya RM100,000 atau RM150,000, Ellron menjawab, “Saya dah lupa.”
Tei kemudian menyebut bahawa RM100,000 telah dimasukkan ke akaun bank, manakala RM400,000 lagi diserahkan secara tunai.
Video itu dipercayai dirakam di rumah Ellron di Kota Kinabalu, Sabah.
Kaitkan anak saudara
Pada Julai lalu, Ellron menafikan menerima rasuah RM530,000 yang dikaitkan dengan skandal itu dan menyifatkan ia sebagai “fitnah tidak berasas”.
Bulan lalu, Ellron yang juga Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) — walaupun Star secara automatik digugurkan daripada gabungan itu selepas memilih untuk menggunakan logonya sendiri.
Dalam video yang sama, Ellron dilihat bersetuju dengan Tei yang mendakwa dia menerima 10 peratus pegangan saham dalam sebuah syarikat daripada ketua menteri sementara, Hajiji Noor.
Tei: Dia (Hajiji) bagi Datuk (Ellron) saham itu.
Ellron: Yalah.
Tei: Supaya Datuk (Ellron) sokong dia.
Ellron: Betul.
Tei juga menyentuh tentang seorang anak saudara Ellron yang didakwa menjadi proksi bagi pegangan saham tersebut.
Pendedahan berkenaan muncul menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 15 Nov dan pengundian pada 29 Nov.
Sejak Nov tahun lalu, lebih sedozen ahli politik GRS — termasuk beberapa menteri kanan negeri —dikaitkan dengan skandal pelombongan tersebut.
Tei dan dua Adun sudah pun didakwa di mahkamah, manakala nasib tokoh lain masih belum diketahui, sekali gus mencetuskan dakwaan wujudnya cubaan menutup kes.
Malaysiakini sudah menghubungi Ellron, Hajiji dan pembantunya untuk mendapatkan maklum balas.






