MediaTek telah mengesahkan pembangunan cip 2nm yang dijangka siap untuk proses pengeluaran pada September 2025. Pengumuman ini dibuat dalam ucaptama COMPUTEX 2025, dan berdasarkan jadual pembuatan semikonduktor oleh TSMC, pengeluaran berskala besar bagi teknologi N2 dijangka bermula pada separuh kedua tahun 2026. Dengan itu, pelancaran cip Dimensity 9600 berkemungkinan besar berlaku menjelang penghujung tahun tersebut.

Peralihan kepada teknologi 2nm dijangka menjadikan cip lebih pantas dan jimat tenaga terutamanya untuk telefon pintar kelas tinggi. Apple biasanya menjadi yang terawal menggunakan teknologi cip baharu tetapi masih belum jelas sama ada mereka akan beralih kepada N2 atau kekal dengan N3P. Jika Apple menangguhkan penggunaan N2, maka MediaTek mungkin akan menjadi syarikat pertama yang melancarkan cip 2nm dalam pasaran telefon pintar.
Buat masa ini, belum ada maklumat terperinci tentang cip tersebut, dan kemungkinan besar tiada pendedahan dalam masa terdekat kerana pelancarannya masih lebih setahun lagi.