Ulasan Xiaomi Pad Mini – Si Kecil Dengan Prestasi Gergasi
Effi Saharudin
Tablet Android secara puratanya lebih kerap ditawarkan dalam saiz yang besar. Siri Galaxy Tab S dan iPad Pro ialah dua contoh tablet berkuasa dengan saiz sekurang-kurangnya 10″. Sementara itu tablet kecil pula sekadar dalam kelas pertengahan dengan jarang sekali ditawarkan dengan pemproses kelas mercu. Xiaomi Pad Mini yang mula dijual di Malaysia pada penghujung September ialah tablet yang pada hemat saya ialah si kecil dengan prestasi gergasi.

SPESIFIKASI
| Xiaomi Pad Mini | |||
|---|---|---|---|
| Skrin | 8.8″ IPS LCD, 165Hz | HDR10+, Dolby Vision | Sokongan stylus |
| Pemproses | Dimensity 9400+ (3 nm) | ||
| Cip | 1 x 3.73 GHz Cortex-X925 | 3x 3.3 GHz Cortex-X4 | 4x 2.4 GHz Cortex-A720 |
| Cip Grafik | Immortalis-G925 | ||
| RAM | 12GB LPDDR5X | ||
| Muatan Dalaman | 512 GB UFS 4.1 | ||
| Kamera Utama | 13MP, f/2.2 (Sudut Lebar) | ||
| Kamera Swafoto | 8MP, f/2.3 | ||
| Bateri | 7500 mAh | Pengecasan berwayar 67W | |
| SIM/Telefoni | Tiada | ||
| NFC | Tiada | ||
| Bicu Audio | Tiada | ||
| Kalis Air | IP68 | ||
| Sistem Imbasan | Imbasan wajah | ||
| Harga Jualan | RM 1999 (12/512GB) |
SKRIN
Skrin 8.8″ adalah daripada jenis IPS LCD tetapi menyokong kadar segar semula 165Hz. Ini menjadikannya panel yang cukup baik untuk menonton kandungan media dan permua. Dengan nisbah 16:10 ia juga serasi digunakan untuk menstrim kandungan video dibantu oleh sokongan Dolby Vision serta HDR10+. Panel turut menyokong stylus Xiaomi Focus Pen yang dijual secara berasingan.

Dengan resolusi 3K, panel ini boleh memaparkan kandungan dengan cukup tajam. Isu yang saya ada hanyalah kerana ia IPS LCD, kandungan akan menjadi sukar dilihat di bawah matahari yang terik jika dibandingkan dengan panel OLED. Sentuhan dapat dikesan dengan baik dengan secara keseluruhan panel ini adalah responsif semasa digunakan sepanjang tempoh ulasan.
BIOMETRI
Tidak seperti iPad Mini, Xiaomi Pad Mini tidak mempunyai pengimbas cap jari terbina. Pilihan yang agak aneh kerana sistem cap jari sudah menjadi satu kewajipan walaupun pada telefon murahan. Tablet hanya menyokong sistem imbasan wajah yang pantas tetapi tidak begitu berfungsi dalam situasi dalam keadaan gelap memandangkan ia tiada pemancar IR seperti Face ID.

REKAAN
Tablet mempunyai skrin dengan bezel yang tebal. Ini adalah perlu bagi memudahkan ia dipegang dalam tangan tanpa menyentuh skrin secara tidak sengaja. Kerana rekaannya yang kompak, Pad Mini tidak terlalu berat di dalam tangan sehingga menjadi lenguh selepas digunakan untuk beberapa ketika.

Sisi rata dengan speaker diletakkan pada bahagian atas dan bawah tablet dengan kedua-duanya menembak ke sisi. Yang menjadikan Pad Mini unik ialah ia dilengkapi dua port pengecasan USB-C. Dengan ini tablet boleh digunakan dicas dengan selama pada posisi potret ataupun landskap khususnya ketika menonton video atau sesi permua yang panjang.

Butang kuasa diletakkan di atas dengan butang laras audio pula pada sisi kanan. Kesemua butang berada di kedudukan yang mudah diakses serta senang ditekan tanpa menyakitkan jari. Pada sisi kanan juga terdapat dermaga untuk meletakkan stylus. Sekali lagi kami ingatkan, stylus tidak disertakan dengan setiap pembelian tablet.

Di belakang terdapat satu kamera 13MP dengan flash sementara di belakang pula kamera swafoto sebesar 8MP. Tiada bonggol kamera yang menjadikan Pad Mini sebilangan kecil tablet moden yang boleh diletakkan rata di atas permukaan meja.

Tablet juga sekadar menyokong sambungan sehingga WiFi 7 tanpa sebarang sokongan untuk selular. Turut tidak diberikan ialah bicu audio 3.5 mm, sokongan kalis air dan tiada juga pemancar infra merah. Dari segi kelengkapan Pad Mini adalah agak minimalis.
PERISIAN – Hyper OS 2
Perisian Xiaomi HyperOS 2 digunakan dengan ia berasaskan Android 15. Sedikit mengecewakan sistem operasi tahun lalu masih digunakan tetapi sekurangnya-kurangnya Pad Mini akan menerima HyperOS 3 dalam masa terdekat. Semasa dilancarkan Xiaomi tidak mengatakan berapa lama tablet ini akan disokong. Tetapi sebagai sebuah tablet kelas mercu, ia mungkin sekurang-kurangnya 2+3 tahun seperti telefon mercu mereka.

Tablet yang diuji dilengkapi memori 12GB RAM LPDDR5x dan storan 512GB UFS 4.1 Memori dan storan yang pantas ini membuatkan Pad Mini terasa amat lancar digunakan. Proses memasang dan melancarkan aplikasi amatlah pantas setanding pengalaman saya menggunakan Xiaomi 15T dan Xiaomi 15 Ultra tahun ini.

Antaramuka nampak minimalis dengan terdapat pintas pantas untuk beberapa aplikasi di bahagian bawah sepanjang masa. Taskbar ini boleh diseru sepanjang masa dengan menatal palang putih di bawah skrin. Antaramuka adalah sama dengan Hyper OS 2 di telefon cuma direka untuk skrin lebih besar serta beberapa ciri spesifik untuk tablet. Ada beberapa aplikasi terpasang tetapi ia tidak begitu banyak dan mudah dibuang jika tidak diperlukan oleh pemilik.

Di dalam era AI, Pad Mini turut menerima ciri Xiaomi HyperAI. Antara yang boleh dilakukan ialah bantuan penulisan menerusi AI Writing, janaan gambar menggunakan AI Art dan suntingan gambar dalam galeri menerusi AI Gallery Editor. Pada waktu yang sama terdapat ciri alih bahasa secara automatik dan menghasilkan transkrip audio. Tidak terdapat banyak ciri AI tetapi berdasarkan pengalaman peribadi kesemua ciri yang disertakan ialah yang paling diperlukan majoriti pengguna.

Bagi pengguna ekosistem Google, Circle to Search dan Gemini diberikan secara terbina. Maka dari sudut ciri Pad Mini mempunyai kesemua ciri minima sebuah peranti yang ditawarkan dalam tahun 2025.
PENANDA ARAS
Berikut ialah markah penanda aras Antutu 3D, Geekbench 6 dan 3D Mark Wildlife Extreme. Saya bandingkan cip Dimensity 9400+ yang digunakan Xiaomi Pad Mini dengan cip-cip mercu di bawah.
- Dimensity 9400+ – Xiaomi Pad Mini
- Dimensity 9400+ – Samsung Galaxy Tab S11 Ultra
- Dimensity 9500 – Oppo Find X9 Pro
- Apple A19 Pro – Apple iPhone 17 Pro
- Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy Z Fold7
- Snapdragon 8 Elite – Honor Magic V5
- Snapdragon 8 Elite (7 Teras) – Oppo Find N5
- Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy S25 Ultra
AnTuTu 3D
| Cip | Skor |
| Xiaomi Pad Mini | 2,743,058 |
| Samsung Galaxy Tab S11 Ultra | 2,787,650 |
| Google Pixel 10 Pro Fold | 1,214,735 |
| Oppo Find X9 Pro | 3,472,342 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 1,747,012 |
| Oppo Find N5 | 2,157,718 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 1,946,864 |

Geekbench 6
| Cip | Satu Teras | Multi Teras |
| Xiaomi Pad Mini | 2535 | 7429 |
| Samsung Galaxy Tab S11 Ultra | 2643 | 8686 |
| Google Pixel 10 Pro Fold | 2303 | 6134 |
| Oppo Find X9 Pro | 3158 | 9298 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 2745 | 9060 |
| Oppo Find N5 | 2866 | 7987 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 2957 | 9435 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Xiaomi Pad Mini | 5587 |
| Samsung Galaxy Tab S11 Ultra | 6106 |
| Google Pixel 10 Pro Fold | 3266 |
| Oppo Find X9 Pro | 6127 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 5633 |
| Oppo Find N5 | 5507 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 6135 |

Pad Mini mempunyai prestasi yang tidak jauh berbeza dengan Tab S11 Ultra yang dilengkapi cip Dimensity 9400+ yang sama. Maka prestasinya adalah mengagumkan bagi sebuah tablet berharga RM1999 kerana Tab S11 Ultra dijual pada harga bermula RM5999 sebuah.

Aplikasi lazim dilancarkan dengan pantas kerana storan UFS 4.1 dan banyak aplikasi boleh dibuka serentak tanpa segar semula kerana saiz 12GB RAM yang besar. Terdapat mod tambahan memori maya jika dirasakan memori masih tidak mencukupi.
Permua COD Mobile dan Genshin Impact boleh dimainkan pada tetapan tertinggi tanpa sebarang isu. Walaupun saiz tablet ini kecil, prestasinya setanding dengan beberapa tablet bersaiz besar lain di pasaran. Tiada isu pemanasan yang serius saya sedari sepanjang tempoh ulasan. Tablet kecil ini boleh dijadikan sebuah konsol mudah alih. Semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Belfast sebulan lalu, saya menghabiskan banyak masa bermain GTA San Andreas menggunakan tablet ini. Perjalanan 13 jam terus menjadi kurang membosankan.
KAMERA
Prestasi kamera adalah sekadar cukup untuk mengambil gambar dan anda tidak akan memenangi sebarang anugerah fotografi. Tanpa OIS pada kamera utama, gambar yang diambil kesemuanya kurang tajam dengan warna nampak agak pudar. Memandangkan ini adalah sebuah tablet, saya tidak akan terlalu mengkritik kerana kemampuan kamera lazimnya di tangga bawah dalam keperluan sebelum pembelian dilakukan.






BATERI
Bateri 7500 mAh boleh bertahan hampir 14 jam apabila menonton kandungan video. Ini saya cuba sendiri dengan menonton video Netflix, Prime Video dan YouTube yang dimuat turun dalam pesawat. Pengecasan sehingga 67W disokong dengan kepala pengecas disertakan dalam kotak. Tempoh mengecas semula bateri adalah sekitar 60 minit menggunakan pengecas ini. Masa yang pantas untuk kapasiti bateri besar.
Tetapi harus diingatkan pengecasan pantas hanya boleh dinikmati jika pengecas disambungkan pada port USB-C bahagian bawah dan bukannya port sekunder di sisi kiri tablet. Kelajuan pemindahan fail juga hanya pantas menggunakan port USB-C bawah. Ini kerana port bawah menyokong USB 3.2 Gen 1 (sehingga 5Gbps) dan port sisi pula sekadar USB 2.0

AUDIO
Dua speaker stereo menyokong Dolby Atmos dengan bunyi yang dikeluarkan cukup lantas serta jelas. Kekisi audio yang besar membantu menghasilkan audio yang terasa dinamik dan tidak sempit. Kedudukan kekisi yang agak tinggi juga mengelakkan isu ia ditutup oleh tangan apabila dipegang.

DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Xiaomi Pad Mini
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Kepala pengecas 67W USB-A
- 1x Manual.

KESIMPULAN
Xiaomi Pad Mini ialah tablet mini Android terbaik saya ulas tahun ini. Ia mempunyai skrin cantik, pemproses kelas mercu yang boleh menjalankan permua pada tetapan tinggi dan bateri tahan lama lengkap dengan pengecasan pantas. Dari segi nilai, ia adalah pembelian lebih berbaloi berbanding Galaxy Tab S11 Ultra dengan cip yang sama jika anda tidak memerlukan tablet dengan skrin gergasi.

Perkara negatif hanyalah tiada kemampuan kalis air, tiada sokongan selular dan kamera sekadar asalkan boleh. Tetapi pada harga jualan RM1999 sebuah, saya rasakan kekurangan yang disebutkan ini boleh diabaikan. Xiaomi Pad Mini ialah tablet gaming dan pemain media kegemaran saya tahun ini.
Pro
- Skrin 165Hz menyokong Dolby Vision
- Dimensity 9400+ berkuasa.
- RAM dan storan pantas serta bersaiz besar di Malaysia.
- Bateri tahan lama.
- Pengecasan pantas.
Kontra
- Tiada versi selular.
- Tidak kalis air.
- Kamera sekadar sederhana.

Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






