Menjelang pengumuman calon pilihan raya negeri daripada DAP esok, dua pemimpin parti itu, Phoong Jin Zhe dan Chan Foong Hin, masing-masing dijangka bertanding di Likas dan Tanjung Aru.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi untuk mengalahkan musuh utama mereka, naib presiden Warisan Junz Wong.
Phoong, anggota Dewan Undangan Negeri Luyang dan menteri negeri, juga mempengerusikan DAP Sabah, manakala Chan ialah anggota parlimen Kota Kinabalu, timbalan menteri perladangan dan komoditi, serta timbalan pengerusi DAP Sabah.
Phoong (atas, kiri) berkhidmat dua penggal di Luyang, manakala Chan (atas, kanan) sebelum ini menyatakan dia tidak akan bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.
Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan bahawa strategi dalaman parti mendorong Phoong berpindah ke Likas, manakala Chan bersetuju bertanding, bagi merebut Tanjung Aru daripada Warisan.
Kepimpinan DAP bergantung pada profil tinggi mereka dan jentera akar umbi yang kuat untuk memberikan cabaran hebat dan menyingkirkan Wong.
Wong sebelum ini anggota DAP dan memenangi kerusi Likas bawah lambang parti itu pada 2013. Dia menyertai Warisan pada 2016, seterusnya memenangi Tanjung Aru pada 2018, dan mempertahankannya pada 2020 dengan 60.34 peratus daripada jumlah undi.
Jika Wong memilih untuk mempertahankan kerusi semasa, dia akan menghadapi cabaran getir daripada Chan. Tetapi jika dia kembali ke Likas, dia akan berhadapan dengan Phoong.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini mengenai spekulasi Chan bertanding di Tanjung Aru, Wong menjawab ringkas, “tiada masalah”.
Bagaimanapun, dia tidak menolak kemungkinan berpindah ke kerusi lain atas sebab strategik, termasuk Api-Api.
Anggota Dewan Undangan Negeri Api-Api ialah Christina Liew daripada PKR, yang dijangka memberi laluan kepada calon baharu.
Kedua-dua Phoong dan Chan, ketika dihubungi, berkata orang ramai harus menunggu pengumuman rasmi esok.
Namun, Chan dilihat aktif di Tanjung Aru baru-baru ini, mengadakan beberapa sesi bertemu penduduk dan acara komuniti, termasuk hari ini.
Sasar pihak lompat parti
Dalam pilihan raya negeri Sabah 2020, DAP memenangi enam kerusi. Bagaimanapun, dua anggota Dewan Undangan Negeri mereka – Calvin Chong (Sri Tanjong) dan Justin Wong (Elopura) – keluar parti pada Januari 2022 dan menyertai Warisan dua bulan kemudian.
Berikutan pembubaran dewan undangan negeri, seorang lagi wakil DAP, Frankie Poon (Tanjong Papat), keluar parti pada 11 Okt.
Malaysiakini difahamkan bahawa DAP merancang bertanding lapan kerusi dalam pilihan raya akan datang, dengan tumpuan merampas kembali kerusi yang hilang kepada pihak yang melompat parti.
Jika disahkan Phoong berpindah ke Likas, kubu kuatnya di Luyang berkemungkinan diserahkan kepada pembantu kanannya Chan Loong Wei, yang juga ketua Pemuda DAP negeri.
Sumber parti berkata anggota parlimen Sandakan Vivian Wong dijangka bertanding di Elopura, manakala ahli majlis perbandaran Tawau dan anggota jawatankuasa DAP negeri Yap Wui Lip berkemungkinan diletakkan di Sri Tanjong.
Sementara itu, timbalan setiausaha publisiti DAP Sabah Tang Szu Ching dijangka bertanding di Tanjong Papat.
Penyandang Jannie Lasimbang dijangka mempertahankan kerusinya di Kapayan, manakala di Kemabong, kawasan pedalaman di mana DAP akan bertanding buat kali pertama, bekas anggota parlimen Tenom Noorita Sual mungkin dibariskan.
Kerusi itu kini dipegang oleh naib presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Rubin Balang, yang terpalit dalam skandal lesen perlombongan – dakwaan yang dinafikannya.
Noorita mengalahkan Rubin dalam pilihan raya umum 2018 bagi kerusi parlimen Tenom tetapi tewas kepada anak lelakinya, Riduan Rubin, pada 2022.
Setiausaha agung DAP Anthony Loke akan mengumumkan secara rasmi calon dan melancarkan jentera pilihan raya parti di sebuah hotel di Kota Kinabalu esok pada 11.30 pagi.
Keesokan harinya, Perdana Menteri dan presiden PKR Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan senarai calon PKR.






