ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) meraih geran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah dana penyelidikan fundamental (DPF) bagi tahun 2025, bernilai RM4,624,451.
Dana tersebut melibatkan 26 projek Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) iaitu bernilai RM3,093,651, empat projek Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) (RM730,800) dan satu projek Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) bernilai RM800,000.
Naib Canselor Unimap, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen universiti dalam memacu penyelidikan berimpak tinggi.
“Geran ini memberi peluang kepada penyelidik kami untuk meneroka inovasi baharu yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat, industri dan pembangunan teknologi negara.
“Projek-projek yang diluluskan merangkumi pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, Sains komputer, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi pintar.
“Dana berkenaan akan digunakan untuk memperkukuh serta menyokong pembangunan prototaip dan penyebaran hasil penyelidikan,” katanya di sini hari ini.
Majlis penyerahan geran FRGS dan PRGS itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub bersempena Festival Idea Putrajaya (FOI 2025) di Putrajaya International Convention Centre (PICC), baru-baru ini.
Manakala, geran LRGS telah diserahkan pada 3 Oktober lalu sempena Sambutan Hari Akademia 2025 oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Tambah Zaliman, melalui perolehan geran itu, Unimap mensasarkan untuk meningkatkan penerbitan penyelidikan dalam jurnal berindeks antarabangsa dan memperluas kerjasama dengan industri serta institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa.
“Kami yakin usaha ini akan menempatkan Unimap sebagai antara universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia.
“Selain itu, program pembangunan kapasiti penyelidik muda dan latihan lanjutan juga akan diperkukuh untuk memastikan generasi penyelidik baharu Unimap mendapat pendedahan yang mencukupi dalam penyelidikan berimpak tinggi.
“Unimap juga akan menekankan kepentingan penyelidikan yang memberi kesan langsung kepada pembangunan masyarakat dan ekonomi.-UTUSAN






