Malaysia Oversight

Tekanan kewangan, dadah punca keganasan rumah tangga

By Utusan in November 11, 2025 – Reading time 2 minute
Tekanan kewangan, dadah punca keganasan rumah tangga


IPOH: Tekanan akibat masalah kewangan dan penyalahgunaan dadah dikenal pasti antara punca utama berlakunya keganasan rumah tangga terhadap isteri dan anak-anak di negeri ini.

Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kebanyakan kes yang direkodkan melibatkan golongan berpendapatan rendah (B40) yang berdepan kesukaran ekonomi dan ketagihan dadah.

Katanya, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini juga, Perak merekodkan sebanyak 425 kes keganasan rumah tangga, menjadikannya negeri kedua tertinggi selepas .

“Jumlah itu menunjukkan peningkatan membimbangkan berbanding tempoh sama tahun lalu yang merekodkan hanya 175 kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Dalam hal ini, saya tidak menafikan wujudnya kes-kes yang berlaku, namun peningkatan jumlah laporan itu turut mencerminkan keprihatinan dan kesedaran orang ramai untuk bertindak apabila mengesan sebarang keganasan atau penganiayaan terhadap wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Program Hentikan Keganasan Terhadap Wanita Peringkat Negeri Perak 2025 yang disempurnakan oleh isteri Menteri Besar, Datin Aezer Zubir di Mydin Meru di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, masyarakat juga perlu mengubah tanggapan ‘tidak menjaga tepi kain orang’ memandangkan kes yang dibiarkan berlarutan bakal membawa kemudaratan yang lebih besar.

“Pada masa ini, kita dapat lihat banyak isu yang timbul dalam masyarakat apabila sikap keprihatinan jiran dan komuniti sekeliling semakin berkurangan.

“Apabila berlaku sesuatu kes jenayah, ada yang beranggapan ia bukan tanggungjawab mereka kerana tidak terlibat secara langsung, sedangkan ia merupakan masalah sosial yang memberi kesan kepada keseluruhan masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya sesebuah keluarga berdepan masalah, kesannya turut dirasai oleh anak-anak yang mungkin mengalami trauma, terbawa ke sekolah dan mempengaruhi hubungan sosial mereka.

“Apabila perkara ini berlaku, ia boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan pembangunan negara. Jika kes-kes seperti ini dibiarkan tanpa tindakan, tidak mustahil jumlahnya akan terus meningkat,” katanya. – UTUSAN

 





Source link