SEOUL: Anggota termuda kumpulan BTS, Jungkook, kembali menjadi bualan hangat di media sosial selepas satu video didakwa menunjukkan penyanyi popular itu berjalan bersama seorang wanita tular sejak semalam.
Rakaman kabur berdurasi beberapa saat itu dimuat naik oleh akaun tanpa nama di platform X (dahulunya Twitter).
Individu itu mendakwa lelaki dalam video berkenaan ialah Jungkook bersama ‘teman wanitanya’ yang berada di luar kediamannya.
Sejurus tular, segelintir pengguna media sosial menuduh penyanyi Standing Next To You itu sebagai ‘kaki perempuan’.
Lebih mencetuskan spekulasi, ada netizen yang mendakwa wanita tersebut ialah ahli kumpulan Aespa, Winter, berdasarkan khabar angin lama yang pernah mengaitkan kedua-dua bintang K-pop itu.
Namun, penyokong setia Jungkook tampil mempertahankan idola mereka dengan menegaskan video itu berkemungkinan palsu dan dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Mereka turut menyifatkan tuduhan terhadap penyanyi tersebut sebagai cubaan menjatuhkan reputasinya.
Dalam masa sama, peminat tegar BTS, dikenali sebagai ARMY, mengingatkan orang ramai agar menghormati kehidupan peribadi Jungkook yang kini sudah dewasa dan berhak untuk menjalani kehidupan seperti insan biasa.
“Jungkook berhak untuk bergaul dan bercinta jika dia mahu. Tiada siapa patut dirakam atau diintip 24 jam sehari,” tegas seorang peminat di media sosial.
Ramai juga percaya penyebaran video tersebut merupakan perancangan pihak tertentu yang ingin mencetuskan kontroversi menjelang kemunculan semula kumpulan BTS.
Sebelum ini, penyanyi berusia 27 tahun itu beberapa kali berdepan gangguan peminat fanatik atau sasaeng, termasuk insiden seorang wanita menjerit di hadapan rumahnya sambil menggelar dirinya sebagai ‘isteri Jungkook’.
Insiden terbaharu ini sekali lagi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat terhadap tahap keselamatan dan privasi bintang K-pop tersebut yang baru sahaja menamatkan perkhidmatan tenteranya.






