Malaysia Oversight

Polis Sarawak akan guna SOSMA untuk lumpuhkan sindiket dadah

By TheSun in November 11, 2025 – Reading time 2 minute
spot_img


Polis Sarawak akan gunakan SOSMA terhadap sindiket dadah, dengan amaran keras kepada semua peringkat pengedar dalam usaha lumpuhkan rangkaian jenayah terancang.

KUCHING: Polis Sarawak akan mengambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap sindiket pengedaran dadah di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata tindakan itu akan dilaksanakan secepat mungkin dengan proses pengumpulan maklumat sedang dijalankan.

Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengedar dadah atau ahli sindiket.

“Sekiranya terdapat keterangan mencukupi, kita akan mengambil tindakan di bawah SOSMA,” katanya dalam kenyataan kepada pemberita.

Beliau menambah tindakan di bawah jenayah terancang akan melibatkan pengedar besar dan kecil bagi melumpuhkan keseluruhan rangkaian aktiviti.

Mohamad Zainal berkata tindakan di bawah SOSMA bukan perkara baharu dan telah terbukti berkesan di negeri-negeri lain.

Bagi membanteras penyalahgunaan dadah di kawasan luar bandar, negeri Sarawak telah membekalkan Instant Visual Drug Detector (IVDD) kepada polis sejak tahun lepas.

Alatan tersebut memudahkan saringan awal urin dalam usaha pencegahan dadah.

Beliau yakin kerjasama erat antara polis, kementerian dan agensi berkaitan akan memperkukuh usaha membanteras penyalahgunaan dadah.

“Terdapat perbezaan dari segi pendekatan di Sarawak dan saya amat gembira dengan bantuan negeri kepada PDRM,” katanya.

Pada Februari lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan SOSMA diperlukan untuk menangani jenayah serius yang mengancam keselamatan negara.

Antara contoh kes besar yang disiasat menggunakan SOSMA termasuk Geng 360 Devan, Geng Jackie dan Geng Etong yang terlibat dalam pelbagai aktiviti haram. – Bernama


Post Views: 1



Source link