Malaysia Oversight

Tiada pelanggaran undang-undang di semua stesen minyak di P Pinang

By MkiniBM in November 11, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Pulau Pinang mendapati tiada sebarang pelanggaran undang-undang dikesan di semua stesen minyak di negeri itu selepas pelaksanaan inisiatif subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95).

Pengarah KPDN Pulau Pinang S Jegan berkata pemeriksaan berterusan setiap hari di lebih 200 stesen minyak yang terdapat di negeri itu mendapati tiada sebarang kesalahan melibatkan penipuan sukatan minyak petrol RON95.

“Setakat ini ada 12 aduan berkaitan Budi95 diterima sejak bulan lepas, bulan ini kami terima tiga aduan dan kebanyakannya melibatkan isu teknikal serta kekeliruan dalam sistem bukan berpunca daripada salah laku pihak stesen minyak.

“Tiada mana-mana stesen minyak di Pulau Pinang yang dikesan melakukan kesalahan berkaitan penipuan sukatan atau pelanggaran peraturan program Budi95,” katanya selepas melancarkan Program Pasar Patuh (3P) di Pasar Chowrasta di George Town, hari ini.

Jegan berkata demikian bagi mengulas rungutan pengguna yang mendakwa sukatan minyak petrol yang diterima tidak sama dengan nilai yang dibayar sehingga menyebabkan jumlah penggunaan mereka lebih tinggi.

Jegan berkata pemeriksaan dijalankan setiap hari oleh pasukan penguat kuasa bagi memastikan semua pengusaha stesen minyak berada dalam keadaan patuh.

“Kami ada pasukan khas yang membuat pemantauan berterusan termasuk ujian terhadap alat penyukat minyak bagi memastikan tiada unsur penyelewengan,” katanya.

Sementara itu, Jegan berkata KPDN menjalankan pemantauan berterusan harga barangan bagi memastikan tidak berlaku kenaikan yang ketara harga barangan mentah seperti sayur dan hasil laut berikutan musim Monsun Timur Laut (MTL).

Dia berkata pihaknya turut memberi amaran kepada peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara melampau sepanjang musim MTL.

“Apabila MTL bermula, bekalan ikan dan sayur-sayuran segar mungkin berkurangan, namun permintaan meningkat dan harga sedikit naik. KPDN akan terus memantau situasi ini dan melakukan pemeriksaan di pasar basah, kedai runcit serta pemborong bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan terhadap pengguna,” katanya.

MTL 2025/2026 dijangka bermula Jumaat ini, 13 Nov hingga Mac tahun depan dan menurut Jabatan Meteorologi, sebanyak lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan berlaku sepanjang tempoh berkenaan.

-Bernama



Source link