PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata usaha kerajaan memulihkan aset 1MDB menunjukkan perkembangan positif apabila lebih RM1 bilion dana dipulangkan baru-baru ini.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata proses pemulangan aset serta dana 1MDB masih diteruskan oleh jawatankuasa khas yang dipertanggungjawabkan termasuk kes di Switzerland dan London, United Kingdom.
“1MDB ini pada peringkat akhir, masih ada kemasukan baru-baru ini. Saya tidak dapat teka berapa jumlahnya tetapi mencecah lebih RM1 bilion tambahan daripada dahulu.
“Proses ini (mengembalikan wang negara) masih diteruskan di Switzerland, di London dan ada jawatankuasa khas yang dipertanggungjawabkan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Dr Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tanjong Karang) berhubung jumlah terkini dana 1MDB yang telah dipulangkan kepada Malaysia.
Katanya selain 1MDB, kerajaan juga memberi tumpuan kepada usaha menumpaskan penyelewengan serta sindiket jenayah telekomunikasi, jenayah e-kewangan, e-dagang, pinjaman dan pelaburan tidak wujud selain penipuan cinta.
Pada Okt lalu kerajaan dan 1MDB memaklumkan telah mencapai penyelesaian dengan tiga institusi kewangan iaitu Goldman Sachs berjumlah AS$3.9 bilion (RM16.48 billion), AmBank Group (RM2.83 bilion) dan JP Morgan (Switzerland) Ltd sebanyak RM1.4 bilion.
– Bernama






