Insta360 adalah sebuah jenama dan syarikat teknologi dari China yang terkenal untuk manghasilkan kamera-kamera aksi dan 360 darjah bersaiz padat yang digunakan oleh orang ramai.
Tetapi tahukah anda bahawa mereka juga sangat menjaga dengan baik para pekerja mereka, khususnya mereka yang membantu dalam membangunkan teknologi pengimejan mereka? Pada tahun ini, syarikat tersebut telah menganugerahkan penutup kekunci yang diperbuat daripada emas kepada 21 pekerja terbaik mereka pada Hari Pengaturcara (Programmer’s Day) di China pada 24 Oktober yang lalu.

Untuk tahun ini, aksesori emas yang paling berat merupakan sebuah kekunci space bar yang diperbuat daripada emas dengan anggaran berat 35.02g dengan nilai 230 ribu yuan ataupun sekitar RM187 ribu.
Ini adalah cara Insta360 menjaga para pekerja mereka yang terbaik, dengan memberikan bonus dalam bentuk aksesori emas. Mereka telah melakukannya selama lima tahun, dan ia dilihat sebagai satu cara yang berkesan dalam memastikan bahawa prestasi dan moral pekerja mereka sentiasa dalam keadaan yang baik.
Di dalam kumpulan-kumpulan syarikat teknologi di China, Insta360 juga dikenali sebagai “kilang emas” kerana bonus dan hadiah yang diberi kepada para pekerja syarikat adalah dalam bentuk emas sewaktu pemberian bonus dan juga sewaktu acara-acara penting syarikat. Sewaktu ulang tahun ke-10, mereka telah memberi semua pekerja sebuah kotak tikam yang mengandungi emas seberat 0.36 gram, dan pada perayaan hujung tahun syarikat terbaru, telah meletakkan emas 999 seberat 50 gram sebagai hadiah utama.






