Pemuda DAP hari ini memuji tokoh parti lawan daripada PAS kerana menyokong mesej perpaduan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong berkata cara berpolitik Pesuruhjaya PAS Perak Idris Ahmad berbeza dengan pendahulunya Razman Zakaria–yang dirundung pelbagai kontroversi.
Woo berkata, Idris kurang memainkan retorik fitnah, tidak beremosi dalam mengutarakan hujah, dan mencuba sedaya upaya untuk “balik ke jalan tengah politik”, dengan hasrat tidak ditolak oleh masyarakat berbilang kaum dan hanya menjadi jaguh kampung.
“Ini adalah ahli politik yang pragmatik dan lebih sesuai dalam arena politik tanah air kita, bukannya ahli politik yang disaman fitnah dan kalah berkali-kali tanpa segan silu ataupun ahli politik yang mencuba untuk mengaitkan status kaum apabila berlakunya kes menyerang Sultan Perak,” katanya.

Namun, kata Woo, retorik saja tidak mencukupi sebaliknya harus dibuktikan melalui dasar-dasar di negeri bawah pentadbiran mereka.
Terdahulu Idris menyatakan junjungannya terhadap titah Sultan Nazrin sempena Istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak bersempena ulang tahun keputeraan baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Idris juga berkata nasihat baginda agar negeri itu tidak dijadikan medan pertelingkahan, bahkan dipelihara sebagai rumah yang aman, damai dan sejahtera, merupakan pesanan yang amat berharga serta wajar dijadikan pedoman.
“PAS Perak menjunjung tinggi saranan Duli Yang Maha Mulia Tuanku agar kemerdekaan negara diisi dengan kebebasan berfikir yang beradab, kematangan berpolitik yang bertanggungjawab, serta tekad bersama dalam mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negeri dan pembangunan negara.
“Titah baginda juga senada dengan hasrat dan perjuangan PAS yang sentiasa menekankan agenda penyatuan ummah, khususnya dalam kalangan umat Melayu Islam serta memperkukuh perpaduan antara kaum berteraskan roh Islam dan semangat Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, Woo bagaimanapun berkata PAS harus membuktikan kata-kata mereka dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan datang dengan menekankan “politik tengah”.
Ini termasuk menghormati sekolah pelbagai aliran, tidak lagi mempertikaikan peruntukan kepada Sekolah Menengah Confucian (Suwa) dan tidak menjadikan kampung baru Cina sebagai punching bag (sasaran serangan), tambahnya.
“Parti politik yang benar-benar serius dalam menyatupadukan rakyat pun harus membidas kenyataan pemimpin yang pernah menyebut ucapan perkauman seperti ‘semua yang mata, kulit macam kita mesti bersatu’ dan juga mengecam sekeras-kerasnya sebarang kenyataan yang mengaitkan isu bangsa dalam apa-apa kes pun,” katanya.
Idris dilantik menggantikan Razman kira-kira sebulan lalu susulan keputusan muktamar supaya Naib Presiden PAS itu memimpin Perak bagi berdepan pilihan raya umum akan datang.

Razman pada 26 Otk lalu membuat kenyataan berbaur perkauman pada perhimpunan mengecam pengibaran bendera China semasa festival kebudayaan Guan Gong di Menara Condong Teluk Intan, Perak.
Sambil mengkritik pentadbiran sekarang kerana disifatkan tidak mempertahankan kedaulatan negara, Razman membuat seruan untuk perpaduan, dengan memetik ciri fizikal.
“Kita mohon kepada semua yang matanya macam ni (sambil tunjuk mata), kulit dia macam ni (tunjuk kulit), darah dia macam kita semua, kita kena bersatu, inilah wadahnya yang kita bawa,” katanya.






