Polis Pahang berjaya merampas dadah jenis bunga ganja dan ganja bernilai kira-kira RM5.3 juta dalam dua serbuan dan pemeriksaan berasingan di Bentong serta Maran, awal bulan ini.
Dalam pemeriksaan pertama di tapak projek ECRL di Jalan Lama Bentong – Bukit Tinggi pada 4 Nov lalu, pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Bentong dan Balai Polis Bukit Tinggi menemui 240 bungkusan plastik lut sinar mengandungi bunga ganja.
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata bungkusan itu ditemui hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Toyota Camry yang diletakkan di kawasan parkir tapak projek berkenaan.
“Pemeriksaan itu dijalankan kira-kira jam 11.30 pagi selepas kami menerima laporan daripada orang awam mengenai kereta terbabit dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan, pegawai dan anggota dari Bentong dan Bukit Tinggi menemukan tujuh kotak mengandungi 107 plastik lut sinar yang di dalamnya terdapat dadah jenis bunga ganja.
“Turut ditemukan ialah dua lagi kotak dengan 13 bungkusan plastik lut sinar dan empat guni berwarna putih mempunyai 120 bungkus plastik lut sinar, semuanya mengandungi dadah jenis bunga ganja,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Kuantan, hari ini.
Yahaya memaklumkan, jumlah semua rampasan hasil pemeriksaan itu adalah sebanyak 240 plastik lut sinar mengandungi dadah jenis bunga ganja dengan nilai pasaran RM5.04 juta.
“Ketika pemeriksaan, memang kereta itu tidak mempunyai pemandu atau penumpang dan semakan awal menunjukkan kenderaan terbabit didaftarkan atas nama seorang lelaki tempatan beralamat di Johor Bahru.
“Usaha untuk mengesan pemilik sedang kita lakukan,” jelasnya.
Dalam kes berlainan, Yahaya berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari BSJN IPD Maran menahan sebelum memeriksa kereta Perodua Ativa di kawasan rehat dan rawat Maran menghala ke Kuala Lumpur, pada 6 Nov lalu. Pemeriksaan tersebut dijalankan kira-kira jam 7 petang.
“Ia dibuat hasil risikan polis dan kami berjaya menahan pemandu kereta itu, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun.
“Dalam pemeriksaan ke atas kereta berkenaan, polis menemui 102 bungkusan dadah jenis ganja yang diletakkan dalam kotak dan guni, dianggarkan bernilai RM303,000,” katanya.
Menurut Yahaya, suspek mengaku bekerja sebagai penghantar dan menerima bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk setiap perjalanan.
Suspek itu juga, kata Yahaya, mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan.
“Kejayaan rampasan dadah ini menunjukkan komitmen polis Pahang dan BSJN Pahang dalam membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini,” katanya.






