Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis bunga ganja seberat 67.48 kilogram yang dianggarkan bernilai lebih RM6.2 juta di kawasan Tambak Persisiran Pantai Bukit Putih, Kuala Perlis, Perlis, bulan lalu.
Pengarah Kastam Kedah Wan Marini Wan Hamzah berkata serbuan berasaskan maklumat risikan itu dilakukan oleh sepasukan pegawai Cawangan Penguatkuasaan Marin Langkawi bersama pasukan elit Serangan Tindak Balas Pasukan Tempur Operasi Kastam (Cobra) kira-kira jam 10 malam.
“Hasil serbuan menemukan sebuah sampan kayu yang ditinggalkan bersama empat beg guni bertulisan Thailand.
“Pemeriksaan lanjut ke atas beg berkenaan menemukan sejumlah besar bahan disyaki dadah jenis bunga ganja.
“Keseluruhan rampasan membabitkan 67.48 kilogram bunga ganja dengan nilai anggaran RM6,209,816,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Marini berkata dadah itu dipercayai diseludup dari negara jiran menggunakan sampan kayu.
Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Wan Marini turut menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
– Bernama






