Malaysia Oversight

Lima mayat lagi ditemui dalam operasi carilamat bot karam di Langkawi

By TheSun in November 11, 2025 – Reading time 2 minute
Lima mayat lagi ditemui dalam operasi carilamat bot karam di Langkawi


Operasi carilamat bot karam di Langkawi temui lima mayat hari ini, jumlah mangsa di perairan Malaysia kini 12, carian diperluas ke 255.66 batu nautika

LANGKAWI: Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) mangsa bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand menemui lima lagi mayat hari ini.

Penemuan itu menjadikan jumlah mangsa yang dijumpai di perairan Malaysia sebanyak 12 orang.

Seramai 13 mangsa lain telah ditemui selamat sejak CARILAMAT dilancarkan.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata penemuan pertama membabitkan mayat seorang kanak-kanak lelaki.

Mayat itu ditemui oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia kira-kira dua batu nautika barat daya Tanjung Belua pada 12.47 tengah hari.

“Beberapa minit kemudian, aset milik Tentera Laut Diraja Malaysia, Bot FCB 1331 menemui mayat seorang lelaki dewasa terapung di laut,” katanya.

Mayat itu kemudian dibawa ke jeti Maritim Malaysia dan diserahkan kepada pihak polis.

Tidak lama selepas itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memaklumkan penemuan mayat seorang wanita.

Mayat wanita itu ditemui kira-kira tiga batu nautika barat laut Pulau Rebak Besar sebelum dibawa ke jeti Harbour Park.

Pada 3.31 petang, aset KD LEDANG milik TLDM menemui satu lagi mayat wanita.

Bot PSC 20 Pasukan Polis Marin turut menjumpai mayat lelaki terapung di perairan sama.

Kedua-dua mayat dibawa ke jeti Harbour Park untuk tindakan lanjut.

Sektor pencarian kini diperluas kepada 255.66 batu nautika persegi.

Operasi melibatkan pelbagai aset laut dan udara daripada Maritim Malaysia, TLDM, Pasukan Polis Marin, JBPM dan APM.

Romli berkata pihak berkuasa Thailand turut menemui enam mayat di perairan negara itu semalam.

CARILAMAT hari ini ditangguhkan pada 7.30 malam berikutan cuaca gelap serta laut bergelora.

Operasi akan disambung semula pagi esok. – Bernama


Post Views: 1



Source link